SPR Tak Pernah Abai Hak Anwar Mengundi - Mahkamah

Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak tindakan guaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menafikan hak beliau untuk mengundi dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin menegaskan bahawa Anwar perlu memohon kebenaran daripada Ketua Pengarah Penjara untuk membolehkan beliau pergi ke pusat pengundian dan melaksanakan haknya sebagai pengundi.

“Memandangkan beliau seorang banduan, SPR tidak mempunyai bidang kuasa ke atas banduan. Undang-undang di negara ini menyatakan bahawa mengundi adalah sukarela. Individu yang mahu mengundi mesti pergi sendiri ke pusat pengundian dan mendapatkan kertas undi,” katanya kepada pemberita selepas hakim menyampaikan keputusannya di dalam kamar.

Amarjeet yang mewakili SPR, bekas pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan, berkata hakim juga menegaskan bahawa hanya sekiranya Anwar dinafikan hak untuk mengundi, beliau mempunyai hak untuk mengemukakan aduan terhadap SPR.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah menolak saman pemula Anwar terhadap SPR dan dua pihak lain kerana didakwa menghalang beliau daripada mengundi, dengan kos RM5,000.

Sementara itu peguam N.Surendran yang mewakili Anwar berkata keputusan ini bermakna banduan yang mendaftar sebagai pengundi sebelum mereka disabitkan kesalahan boleh melaksanakan hak mereka untuk mengundi.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat pembantu peribadinya, turut hadir di mahkamah hari ini.

Pada 6 Mei tahun lepas, Anwar, yang merupakan bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula untuk memohon perisytiharan terhadap hak beliau untuk mengundi seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain ganti rugi dan kos, Anwar turut menuntut supaya defendan mengambil tindakan sewajarnya untuk menguatkuasakan hak beliau sebagai pengundi.

Dalam afidavit sokongannya, Anwar, 69, mendakwa pada 30 April tahun lepas, peguam beliau menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mendapatkan pengesahan berhubung kelayakan beliau untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu, bagaimanapun tiada jawapan yang diterima sehingga hari ini.

Beliau mendakwa tindakan SPR dan Abdul Aziz yang tidak membalas surat itu telah menafikan hak beliau sebagai pengundi dan melanggari Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Anwar, beliau merupakan seorang pengundi berdaftar di Permatang Pauh sebelum disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun lepas dan telah pun mengundi dalam kawasan parlimen itu semasa pilihan raya umum ke-13 tiga tahun lepas. – BERNAMA