Kakitangan RSK sentiasa menitikberatkan layanan mesra kepada penghuni agar mereka rasa dihargai. |
SETIAP insan tanpa mengira tua atau muda impikan kebahagiaan dalam kehidupan. Disebabkan itu, setiap orang berlumba-lumba mengejar bahagia walau dengan apa cara sekalipun.
Namun, kita sendiri tidak dapat memastikan bagaimana pengakhiran hidup yang tertulis buat kita. Adakah bahagia atau sengsara?
Bersama wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya menyelami beberapa hati emas milik Penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong yang mengungkap kembali kisah sejarah dan latar belakang sehingga menjadi penghuni rumah kebajikan tersebut.
Dahulu senang dan mewah
Ai Ping, 62, (bukan nama sebenar) seorang yang ceria dan suka menghabiskan masa dengan bersiar-siar di taman bunga.
Dia bukan sahaja sentiasa tersenyum dan sering menyapa sesiapa sahaja yang melintas di hadapan, tetapi turut bertanya khabar dan berkongsi cerita.
Apabila disapa, dia menjelaskan sedang mengambil angin merehatkan diri di satu bangku dekat taman tersebut kerana ingin meredakan tekanan yang dihadapi.
Bila ditanya tekanan apa, dia kata dia sakit kepala dan ambil peluang untuk rehatkan minda dan anggota badan sambil melihat kicauan burung pada pagi itu.
Memulakan cerita, Ai Ping berkata, suatu ketika dahulu, kehidupannya amat selesa pada zaman muda, bapanya seorang yang kaya raya dan kehidupan mereka sangat mewah.
“Saya selalu makan angin dan ronda-ronda, keluar bersiar-siar dengan memandu kereta. Bapa saya ada duit banyak dan rumah kami besar.
“Tetapi itu semua hanya berlaku ketika bapa masih hidup. Sekarang bapa sudah mati, ibu pun sama. Selepas itu saya tiada tempat mahu mengadu," katanya,
Ai Ping berkata, dia tidak berkahwin dan tinggal seorang diri.
"Disebabkan tiada sesiapa nak jaga, saya kena tinggal di sini. Saya nak balik ke Pulau Pinang sebab di sana ada kakak saya dan anak saudara.
“Dua orang adik perempuan saya duduk di Australia dan bekerja di sana,” katanya.
Ai Ping berkata, beberapa tahun tinggal di RSK, dia mendapat ramai kawan, ada antaranya menghidap pelbagai penyakit termasuklah yang lumpuh, sakit kaki, sakit lutut dan macam-macam lagi.
“Saya suka duduk sini sebab bila saya lapar, makanan dah sedia. Bila tiba hari raya, kami makan kuih raya dan ketupat,” katanya.
Tiada siapa peduli
Tok Piah, 70, (bukan nama sebenar) juga tidak pernah berkahwin sama seperti Ai Ping.
Menceritakan kisah sedihnya, Tok Piah yang berasal dari Sungai Korok berkata, kedua orang tuanya meninggal dunia sejak dia masih di bangku sekolah.
“Ayah seorang pegawai polis dan bertugas di Balai Polis Alor Setar. Rumah kami dekat tepi jalan besar sahaja. Ibu dan ayah adalah pasangan sehati sejiwa kerana kasih sayang dan cinta mereka kekal sampai mati.
“Orang kata macam sehidup semati, sebab ayah meninggal lepas pulang dari Makkah, iaitu seminggu lepas mak meninggal dunia.
“Sebelum tu, mak ada tinggalkan amanat kepada bapa saudara, dia kata kalau nak jual rumah yang kami duduk tu, kena bahagi dan serah pada saya sama. Tapi masa tu saya masih kecil, tak tahu apa-apa. Lepas tu bapa saudara beri saya RM10. Saya gembira sangat sebab dapat duit.
“Bila besar barulah saya tahu, rumah tu dah jadi milik orang lain, tapi saya tak kisah sebab bapa saudara pun dah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, dia hidup menumpang di rumah rakan, Ramlah (bukan nama sebenar) yang dianggap sebagai saudara dan hubungan itu kekal sehingga kini.
Dia juga terpaksa bekerja bagi menampung hidup, namun sesekali menumpang bermalam di rumah Ramlah yang kini sudah berkahwin dengan orang kenamaan dan tinggal di Kuala Lumpur.
“Lepas tak larat bekerja dan makin tua, tok duduk di sini lah (RSK).Sekarang ini, kalau ada ruang, Ramlah masih mai melawat tok di sini,” katanya.
Keluarga tidak tahu
Minah, 84 (bukan nama sebenar) berasal dari Ipoh, Perak dan dimaklumkan menetap di RSK sejak empat tahun lalu selepas arwah suaminya meninggal dunia dan tidak memiliki cahaya mata.
“Rumah saya di Klebang Jaya dan saudara ada di merata-rata di Perak termasuklah Malim Nawar, Kampar.
“Saya tak berapa sihat, tangan jadi ketar-ketar lepas kes ragut sebelum ini. Masa itu saya dengan kawan nak cari kerja dan baru sampai di Padang Kota, Pulau Pinang.
“Kami tak dan lagi nak duduk minum, ada orang mai tarik beg saya dari belakang. Lepas tu saya pengsan dan masuk hospital 13 hari akibat trauma dan tiada waris yang datang jemput.
“Gelang tangan dan rantai juga hilang masa tu, dan saya juga cedera dan luka-luka di kaki dan tangan,” katanya.
Minah berkata, setiap hari dia menangis mengenangkan kejadian yang menimpa, selain menanggung kerugian, dia juga bersedih atas apa yang berlaku sehingga lupa tentang saudara dan di mana asal-usulnya.
Suatu hari, dia didatangi oleh kakitangan RSK ke hospital dan membawanya pulang ke asrama. Sejak hari itu, dia menjadi penghuni RSK.
“Kalau ikutkan memang saya tak mahu ikut kakitangan dan nak balik kampung sebab rindukan anak saudara dan cucu saya.
“Saya juga bimbang mereka jual rumah dan tanah saya sebab dah lama tak bayar cukai. Kalau mereka jual boleh letak nama saya.
“Tapi kalau tak letak nama saya, mereka boleh bayar cukai tanah dan cukai pintu sebab saya pun tak ada duit nak bayar sekarang, mesti banyak tunggakan,” katanya.
Minah berkata, kalau diberi peluang dia mahu kembali kepada keluarga tetapi beranggapan anak saudaranya tidak mengetahui di mana lokasinya kini.
“Mereka tak tau saya ada di sini dan tak cari saya, saya nak keluar dari sini tak boleh, saya rindu cucu. Sekarang tak tahu mereka duduk rumah saya atau tidak,” katanya mengakhiri perbualan.
Tungtung jadi peneman setia
Seorang peminat setia tungtung, Chin, 80, (bukan nama sebenar) memberi isyarat bahawa dia amat menggemari haiwan peliharaan itu kepada Penguasa RSK, Mohamad Md Noor yang turut mengadakan lawatan di asrama bersama wartawan Sinar Harian.
Chin yang bisu melalui tanda isyarat tangan mempelawa penguasa dan wartawan sekiranya ingin membela haiwan itu selain menunjukkan isyarat sangat gembira.
Mohamad berkata, disebabkan tidak menyedari tuntung milik Chin ada dalam asrama sebelum ini, ada antara penghuni yang terpijak menyebabkan dia menangis siang dan malam kerana terlalu sedih.
Selepas itu, Chin memesan supaya membelikan tuntung baru yang ingin dibelanya. Kini dia sangat gembira dengan haiwan itu dan sentiasa membawa ke mana sahaja dia pergi.
Menurut Mohamad, bagi menggembirakan penghuni, mereka diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti lapang atau hobi yang disukai termasuk membela kambing, menggubah bunga, menghasilkan produk bunga manik dan lain-lain.
“Kita juga mengalu-alukan masyarakat memberi sokongan, melawat dan menziarahi sekiranya mempunyai ahli keluarga selain melakukan lawatan hari terbuka atau hari perayaan yang tentunya dapat menggembirakan penghuni kami,” katanya.
Sumber: Sinar Harian