"Syukurlah Masih Ada Yang Prihatin..." - Penghidap Kanser Di Alor Merah

Shahidah Abdul Latif
ALOR SETAR - Wajah pucat dan tidak bermaya Shahidah Abdul Latif, 46, yang terbaring di ruang tamu rumahnya cuba menguntum senyum menerima ziarah tetamu yang hadir menziarahinya tanpa diduga tengah malam itu.

Ditemani suami di sisi, wanita yang derita menghidap kanser ovari itu tetap terbit secebis ceria di wajahnya terharu dengan keprihatinan beberapa anak muda tersebut.

"Terima kasihlah sebab datang tengok keadaan kak ni.. Syukur pada Allah.." katanya tersekat-sekat dalam suasana terharu, menerima kehadiran tetamu tanpa diundang malam itu.

Shahidah terlantar di tilam usang di rumahnya sejak awal Ramadhan lalu setelah tidak lagi mampu bergerak seperti insan normal lain dan tinggal bersama suami serta lima anaknya di Kampung Alor Merah, di sini.

Disahkan menghidap kanser ovari sejak 3 tahun lalu, dunianya hanya di rumah dan kerap berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menjalani rawatan dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Wanita itu menerima sedikit bantuan dari  Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan baru saja diluluskan bantuan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah, namun masih gagal menerima sebarang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat selama deritanya.

"Alhamdulillah, ada yang masih sudi membantu.. walau sedikit pun, syukurlah pada Allah," ujarnya lemah.

Shahidah dikunjungi Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri bersama beberapa rakannya biro bagi menyampaikan bantuan barangan keperluan harian.


Syed Mohd Johan Rizal turut menghulurkan sedikit wang sumbangan bagi meringankan beban wanita tersebut malam itu.

Beliau yang juga merupakan Ketua Biro Kebajikan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah malam itu mengambil inisiatif menjalankan aktiviti rutin Ramadhan melakukan 'terjah sahur', sebuah aktiviti yang dijalankan setiap tahun bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik di sekitar Alor Setar.

Turut menerima sumbangan "terjah sahur" malam itu adalah beberapa individu yang kurang bernasib baik di sekitar Taman Wira Mergong, Alor Merah dan Jalan Putra, di sini.

Bagi yang dikurniakan rezeki yang lebih dan berbesar hati untuk membantu wanita yang diuji Allah ini, bolehlah melakukan sumbangan pahala anda ke akaun Bank Islam beliau di nombor akaun 0201 1020 3779 73 di atas namanya sendiri, Shahidah Abdul Latif. -Kedahnews.com