Tangisan Mia Sara Tarik 50,000 Pengikut Baru

Mia Sara Nasuha
KUALA LUMPUR - Pelakon kanak-kanak, Mia Sara Nasuha, 11, tidak sangka rakaman video yang memaparkan dirinya menangis pada pelancaran jenama tudung miliknya, MS Couture yang menjadi viral baru-baru ini, memberi impak besar.

Mia tidak menduga gara-gara tangisannya itu, pengikut di laman Instagram miliknya meningkat lebih 50,000 orang.

"Mia fikirkan, apabila terjadinya sesuatu isu, ia mendatangkan lebih keburukan berbanding kebaikan. Tetapi ramai yang memberi kata-kata semangat untuk terus maju dalam karier dan perniagaan.

"Pada masa sama, pengikut saya di Instagram meningkat. Saya sekarang ada 445,000 pengikut," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Mia menjadi bualan ramai apabila menangis ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran tudung miliknya itu.

Dalam ucapannya itu, Mia menceritakan susah senangnya bersama bapa membina jenama MS Couture. Mia bagaimanapun turut dikutuk kononnya sengaja meraih publisiti murahan.

Bagaimanapun, kata Mia, dia tidak kisah dengan kritikan negatif kerana baginya, kontroversi baik mahupun buruk mampu membina nama seseorang.

Sementara itu, Mia bersyukur masih diberi tawaran berlakon.

"Alhamdulillah. Sejak berita mengenai kerjaya lakonan saya yang semakin perlahan selepas bertudung, saya mula dihubungi penerbit menawarkan saya berlakon.

"Saya mahu aktif dalam bidang lakonan tahun ini. Namun, tahun depan, saya perlu fokus pada pelajaran kerana akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya.

Sumber: BH Online