Telaga Tiub Memang Terbukti Berkesan - PAS Kedah


ALOR SETAR - Pembinaan telaga tiub adalah alternatif terbaik untuk mengatasi masalah bekalan air bagi tempoh jangka pendek kerana ia terbukti efektif.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi berkata, kaedah itu telah lama digunakan di beberapa lokasi dalam dan luar negara.

“Berdasarkan maklumat Jabatan Mineral dan Geosains, terdapat sekitar 5,000 bilion meter padu simpanan air bawah tanah di negara ini. Antaranya, di daerah Padang Terap, terdapat sumber air yang banyak daripada rekahan batuan keras berusia 240 juta tahun pada kedalaman 104 meter,” katanya.

Menurutnya, sebuah telaga tiub telah dibina di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al-Islamiah di Kampung Padang Kerasak, Kuala Nerang yang mampu mengeluarkan 11,000 gelen air dalam tempoh sejam dan ini merupakan kadar tertinggi di Semenanjung.

“Berdasarkan kiraan, jika dilengkapi dengan pam dan tangki lebih besar, ia mampu menampung penggunaan sehingga 300 buah rumah berhampiran. Kami cadangkan kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Mineral untuk kenal pasti lokasi sesuai,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, dianggarkan penggunaan telaga tiub, pam dan tangki simpanan dengan kapasiti sederhana di sekolah berkenaan hanya membabitkan kos RM85,000.

“Saya percaya kerajaan negeri boleh sediakan dana yang mencukupi, sama ada sumber negeri atau mohon geran daripada Kerajaan Pusat. Jika sebelum ini, Kedah tidak dapat paip dan loji kerana berlainan parti, tidak mungkin telaga tiub juga tidak dipertimbangkan kerana Kedah kini ditadbir BN,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin kos membina telaga tiub di kawasan yang mengalami gangguan air jauh lebih murah dan praktikal berbanding membina infrastruktur air konvensional yang menelan belanja lebih besar.

“Jika projek seperti ini gagal dilaksanakan, BN Kedah patut berundur daripada menerajui kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya percaya infrastruktur bekalan air sedia ada sudah tidak mampu memproses dan mengagihkan bekalan air yang mencukupi di negeri ini.

“Walaupun Kedah tidak mempunyai masalah bekalan air mentah, namun infrastruktur bekalan air seperti kapasiti pam, loji rawatan, tangki simpanan dan jajaran paip sedia ada untuk menyedut, merawat dan mengagihkan air bersih sudah tidak mampu menampung keperluan,” katanya.

Menurutnya, pengurusan antara punca masalah ini tidak berjaya diselesaikan, antaranya isu pinjaman dan geran bekalan air untuk membina infrastruktur yang tidak sepadan dengan kos sebenar.

“Ada infrastruktur yang mengikut spesifikasi, namun kosnya berlipat kali ganda sehingga merencatkan pembinaan infrastruktur lain. 

"Penswastaan operasi rawatan air dan bekalan air ke Langkawi pula tidak memberi pulangan kepada kerajaan, di mana dana itu sepatutnya digunakan untuk membina infrastruktur baharu agar selari dengan pertambahan penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Harian