Tiada tugas dianggap kecil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika menghabiskan masa 30 minit hari ini, semata-mata untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang kepalanya tersangkut dalam periuk nasi elektrik.
Menerusi laman Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.45 pagi, pemilik haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu nekad bergegas membawa sendiri kucingnya ke balai bomba di Bandar Baru Selayang.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selayang berkata, anak kucing yang diberi nama Kajol itu berjaya diselamatkan selepas pihaknya berjaya memotong lubang periuk nasi elektrik itu dengan menggunakan alat pemotong.
“Kajol terperangkap dengan kepalanya tersekat pada lubang periuk nasi, jadi pegawai kami terus memotong sebahagian perkakas itu dan kemudian dengan perlahan mengeluarkan kepala anak kucing itu.
“Kami mengambil masa lebih kurang 30 minit, mujur tuannya bertindak cepat selepas membawa sendiri Kajol ke balai bomba kami,” katanya melalui satu kenyataan.
April lalu, anggota bomba dari balai Ampang terpaksa turun ke longkang sedalam tiga meter di Taman Kosas Ampang untuk menyelamatkan seekor anak anjing yang terperangkap di situ. -Kedahnews.com