Tetap Pendirian Enggan Selfie, Ashraf Muslim Dituduh Sombong


PELAKON kacak Ashraf Muslim tetap dengan pendiriannya tidak mahu bergambar dengan wanita bukan mahram kerana mahu menjaga batas pergaulannya.

Dek kerana pendiriannya itu, hero drama bersiri Mr. Boss Miss Stalker berkenaan dilabel sebagai sombong oleh sesetengah peminat apabila permintaan mereka ditolak.

Walau bagaimanapun, Ashraf berharap peminat dapat menghormati pendiriannya itu.

“Apabila menolak, pasti saya akan dilabel sombong. Saya memohon maaf kepada sesiapa yang terasa tetapi mengharapkan peminat memahami permintaan saya,” katanya kepada sebuah portal berita.

Tambah portal itu lagi, aktor berusia 35 tahun ini turut berkongsi detik dia didatangi seorang wanita yang mahu merakamkan aksi selfie bersamanya ketika dia sedang dalam ihram dan sedang melakukan ibadah sai’e.

“Tanpa segan silu, dia mahu bergambar selfie dengan saya. Saya terkejut dan darah saya naik tiba-tiba. Marah pun ada. Namun begitu, saya menolaknya dengan cara baik,” jelasnya yang sempat menasihati wanita berkenaan.

Justeru Ashraf menegaskan, dia lebih gemar untuk bergambar dalam satu kumpulan secara beramai-ramai yang turut disertai oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan tidak sesekali bergambar berdua-duan dengan bukan mahram. – Kedahnews.com