TH Akan Pastikan Jemaah Malaysia Laksana Ibadah Haji Dengan Lancar

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
PASIR PUTEH – Tabung Haji (TH) akan sentiasa berhubung dengan pihak keselamatan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji negara ini semasa mereka menunaikan ibadah haji di tanah suci.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata maklumat yang diterima daripada pihak keselamatan kerajaan Arab Saudi itu akan membolehkan TH menyelaras pergerakan jemaah bagi menunaikan ibadah tersebut sebaik mungkin.

“Perkara yang lebih penting sekarang ialah jemaah haji dapat mematuhi setiap arahan yang akan dikeluarkan oleh Tabung Haji mengikut situasi semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata jemaah haji tidak perlu bimbang dengan ancaman daripada kumpulan militan ketika mereka mengerjakan ibadah haji.

“Kerajaan mahu jemaah haji kita terus kekal menunjukkan disiplin yang tinggi ketika berada di Tanah Suci supaya dihormati dan mendapat kepujian bukan sahaja oleh kerajaan Arab Saudi bahkan juga negara-negara Islam lain,” katanya.

Sebanyak 22,320 jemaah haji negara ini akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama pada 4 Ogos ini manakala penerbangan terakhir pada 4 Sept depan.

Lebih 300 pengetua dan guru besar sekolah menengah dan rendah di daerah Pasir Puteh menghadiri majlis sambutan hari raya berkenaan.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Datuk Abdul Aziz Abdullah. – BERNAMA