Tiga Cedera Elak Treler Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Seorang lelaki, 50, remaja perempuan, 18, dan kanak-kanak lelaki 11 tahun cedera selepas kereta jenis Honda Civic dipandu lelaki terbabit terbabas dan rempuh sebatang pokok di Kilometer 104.2 Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) arah ke utara pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, lelaki terbabit yang memandu kereta bersama dua penumpang cuba mengelak sebuah treler yang terbabas di pembahagi jalan menyebabkan keretanya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerimanya maklumat berhubung kemalangan itu jam 10.39 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 11 pagi.

Menurutnya, seorang pegawai dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba didapati sebuah kereta Honda Civic terbabas dan merempuh sebatang pokok akibat mengelak treler yang terbabas di pembahagi jalan.

"Dua mangsa membabitkan seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan ringan sudah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, dengan ambulans JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya.

Nur Hafizah berkata, anggota bomba kemudian mengeluarkan pemandu kereta terbabit yang tersepit sebelum dihantar ke HSAH dan operasi tamat pada jam 11.20 pagi semalam.

Sumber: myMetro