Tuan Guru Haji Salleh Musa |
SIK - Tahap kesihatan Tuan Guru Haji Salleh Musa, 87, dilaporkan stabil, namun tokoh ulama itu masih memerlukan rehat sepenuhnya untuk pulih.
Anaknya, Muslim Salleh, 41, berkata, pakar kesihatan mencadangkan agar ayahnya diberi peluang untuk berehat secukupnya ketika ini.
Menurutnya, sejak pulang dari Makkah pada 1963, Salleh gigih berdakwah dan memenuhi jemputan masyarakat tanpa rasa jemu.
“Maka berilah peluang pula kepada tuan guru untuk berehat. Dengan izin ALLAH, bila kesihatannya benar-benar pulih, masyarakat berpeluang mendapat manfaat atas keilmuan beliau,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun katanya, masyarakat dibenarkan menziarahi tuan guru dengan beberapa adab berziarah wajar dipatuhi.
“Antaranya jangan berlama-lama, tidak bertanya soalan kepada tuan guru atau menggosok-gosok atau menyentuh tuan guru kerana beliau sedang berehat.
“Lazimnya, jika semua soalan hendak dijawab, tentulah memberi kesan kepada tuan guru untuk menjawabnya, yang terbaik adalah menziarahinya sambil berdoa kepada beliau,” katanya.
Muslim berkata, keluarganya juga berharap agar masyarakat dapat mendoakan kesejahteraan buat tuan guru.
"Beliau bukan sahaja hak keluarganya, namun juga adalah milik masyarakat.
“Tidak puas mengutip mutiara ilmu, maka pohonlah yang terbaik buat tuan guru,” katanya.
Dalam pada itu, Muslim turut menekankan kepentingan mengapa ulama perlu disayangi oleh setiap umat Islam.
“Sangat penting kita sayangi ulama kerana maksud hadis baginda SAW: "Ulama adalah waris-waris nabi. Ulama adalah penerus kepada perjuangan Rasulullah SAW untuk mengembangkan syiar Islam.
“Rasulullah SAW telah melalui 17 siri peperangan semata-mata untuk mengangkat Islam, justeru bila Islam mengalir ke air tanah, wajib kita pertahankannya, jangan biarkan Islam dihina atau dijatuhkan.
“Ulama berperanan benteng kepada masyarakat, ulama menjadi cahaya dalam masyarakat, ulama sentiasa menjadi tempat rujukan masalah hukum hakam dan berfungsi sebagai murabbi yang membimbing masyarakat mengenal tuhan,” katanya.
Salleh yang dilahirkan di Pekan Sik merupakan anak didik kepada beberapa tokoh ulama hebat di Makkah di antaranya ialah Syeikh Ismail Fathoni,Syeikh Abdul Qadir Mandili, Syeikh Syed Alawi Al-Maliki dan lain-lain.
Ulama yang mudah didekati masyarakat ini juga pernah dianugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak pada 2010.
Sumber: Sinar Harian