Tong Air Untuk Mereka Yang Benar-Benar Perlu - Bakar Din


ALOR SETAR - Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah sedang mengumpul maklumat yang tepat dari pelbagai pihak bagi menentukan hanya mereka yang layak dan memerlukan sahaja bakal menerima tong air statik secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Datuk Bakar Din berkata, wakil-wakil dan agensi terbabit akan meneliti maklumat-maklumat di kawasan masing-masing supaya pemberian tangki berkenaan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Kita tengah kumpul maklumat dan data, sebab kita tak mahu berikan tong (air statik) itu kepada mereka yang tidak memerlukan.

"Kita akan berikan kepada mereka yang betul-betul perlu," jelasnya dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu di Wisma Darul Aman, di sini, petang tadi.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menyenaraikan 6 langkah jangka pendek bagi menangani masalah air di Kedah pada satu mesyuarat khas pada 12 Julai lalu, termasuk pemberian tong air statik  secara percuma kepada mereka yang terjejas dengan masalah bekalan air yang kritikal.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi terlibat. -Kedahnews.com