Tujuh Kedai Sederet Di Pekan Teroi Hangus Terbakar


YAN - Deretan tujuh unit rumah kedai hangus dalam kebakaran di Pekan Teroi bersebelahan Masjid Jamek Teroi, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Kebakaran itu melibatkan beberapa premisnya antaranya kedai runcit, stor kedai runcit, restoran dan kediaman.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Md Fazil Saari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.20 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian.


Menurutnya, seramai 20 anggota dari BBP Yan dan BBP Guar Chempedak bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran, selain dibantu lapan pasukan bomba sukarela dari Pendang, Guar Chempedak, Gurun, Sungai Limau, Kota Sarang Semut dan Kuala Kedah.

“Setiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kebakaran sedang marak membabitkan tujuh rumah kedai kelas C, namun ketika kejadian hanya sebuah rumah berpenghuni, manakala yang lain tiada kerana mereka bercuti.

“Terdapat seorang warga emas, yang juga pengusaha kedai makan berada di dalam rumahnya ketika kejadian namun, mangsa berjaya keluar dari rumah terbabit tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada media, di sini, kelmarin.


Md Fazil berkata, kerja-kerja memadamkan api masih diteruskan sehingga jam 5 petang bagi mengawal kebakaran dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara  itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya difahamkan punca kebakaran bermula dari salah sebuah kedai, namun punca sebenar kebakaran belum dapat dikenal pasti lagi.

Sumber: Sinar Harian