ALOR SETAR - Seorang tukang urut warga Thailand dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah kira-kira dua tahun lepas di Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin.
Keputusan berkenaan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing terhadap Sarawannee Pisitsakunwong, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir ke pembelaan.
Dalam penghakimannya, Kah Sing berkata, pembelaan tertuduh adalah berdasarkan penafian semata-mata dan tidak cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah meneliti semua keterangan dan berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes dan dengan itu tertuduh disabitkan atas kesalahan seperti mana dituduh,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,164.5 gram kira-kira jam 3.40 petang, 28 April 2014 di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas dan Pejalan Kaki di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam dalam daerah Kubang Pasu, di sini.
Pertuduhan terhadap Sarawannee dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya, ibu tunggal yang berasal dari Bangkok, Thailand berkenaan yang memakai baju kurung kelihatan tenang sewaktu dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan itu.
Wanita yang memiliki dua anak perempuan berkenaan bekerja sebagai tukang urut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, kira-kira lima tahun lepas.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kastam Diraja Malaysia, Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili Peguam, Ai Cha Ran.
Sumber: Sinar Harian