Tuntut Laut China Selatan, China Enggan Iktiraf Keputusan The Hague


THE HAGUE – Tribunal antarabangsa, di sini, memutuskan China tidak mempunyai asas perundangan untuk menuntut ‘hak sejarah’ ke atas pulau di Laut China Selatan.

Tribunal berkenaan juga merumuskan China didapati mencabuli hak kedaulatan Filipina di perairan itu.

“Tribunal merumuskan, tidak wujud asas undang-undang bagi China untuk menuntut hak sejarah di Laut China Selatan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berpejabat di The Hague, Belanda.

Manila yang mengemukakan kes itu terhadap Beijing pada 2013, mengalu-alukan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, China menyambutnya dengan marah dan mengulangi, ia tidak akan menerima atau mengiktiraf keputusan itu.

Beijing mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan berhampiran negara jiran sebagai wilayahnya, berdasarkan peta yang diterbitkan pada 1940-an.

“China mencabuli hak kedaulatan Filipina dalam zon ekonomi eksklusif dengan mengganggu kegiatan penangkapan dan kerja cari gali minyak yang dilakukan negara itu menerusi pembinaan pulau buatan manusia dan gagal menghalang nelayannya menangkap ikan di zon itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan tribunal berkenaan.

Tribunal itu juga memutuskan, kepulauan Spratly ‘tidak boleh menghasilkan zon maritim sebagai satu unit’ seperti yang dituntut China.

Selain kedua-dua negara itu, negara lain yang turut terbabit menuntut hak terhadap sebahagian wilayah perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan simpanan gas itu ialah Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Ketegangan yang berlaku juga mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat yang mempunyai perjanjian ketenteraan dengan kebanyakan sekutu serantaunya di situ.

Minggu lalu, Washington menghantar kapal perang untuk meronda berhampiran pulau dan terumbu yang didakwa China miliknya. – Reuters