Gambar Hiasan |
SESEKALI kita dikejutkan dengan berita guru bertindak melampau terhadap anak murid. Biasanya apabila ini berlaku, masyarakat akan bingkas membuat komen melulu sehingga mencalar imej dan kemuliaan kerjaya pendidik yang selama ini dipandang tinggi.
Kita percaya majoriti pendidik di negara kita begitu gigih melaksanakan amanah secara istiqamah dan jujur. Sekolah adalah tempat mencari ilmu namun sekolah juga tapak menghasilkan modal insan yang hebat dari segi akhlak peribadi. Jadi, walau apapun mata pelajaran yang seseorang guru itu mengajar, didikan akhlak turut diselitkan.
Mengambil pedoman daripada sirah Nabi Muhammad SAW ketika memulakan gerakan dakwah, baginda bersabda;
“Aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Kemudian Baginda menegaskan lagi yang bermaksud;
“Antara jalan kebahagiaan bagi manusia adalah mempunyai akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Oleh yang demikian, seseorang guru mesti melihat aspek pembentukan sahsiah diri anak didik sebagai fokus utama dalam proses pembelajaran dan pengajarannya.
Kita sedia maklum dalam era masyarakat moden hari ini, ramai yang lebih memberi tumpuan kepada kejayaan akademik anak-anak. Pendidikan akhlak anak-anak diberikan semasa subjek Agama Islam, Sivik dan Pendidikan Moral sahaja. Itu pun untuk menghadapi peperiksaan juga.
Sistem pendidikan negara mesti kembali melihat aspek pendidikan akhlak sebagai elemen wajib yang seharusnya diterapkan dalam setiap mata pelajaran di sekolah. Jangan asing-asingkan elemen akademik dengan akhlak kerana impak yang sangat buruk mulai nampak sekarang apabila kalangan pelajar ada yang cemerlang pencapaian akademiknya tetapi sangat tempang dari segi akhlak. Apakah kita hendak berbangga dengan pencapaian sebegini?
Salah satu punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan belia dan remaja dewasa ini juga banyak diakibatkan oleh kurangnya didikan agama dan akhlak. Soal penerapan nilai murni seakan-akan tertinggal di belakang, lantaran terlalu mengejar pencapaian keputusan tertinggi dalam peperiksaan.
Bukan sahaja sekolah berlumba-lumba untuk mencapai status terbilang dan berprestasi tinggi malah kalangan ibu bapa juga turut menyumbang kepada kemerosotan akhlak anak-anak kerana lebih mengejar gred A dalam akademik.
Falsafah Pendidikan Negara(FPN) yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, perlu dihayati semula oleh semua pendidik.
Dalam mencurahkan ilmu pengetahuan, soal akhlak anak-anak didik tidak patut sama sekali dikesampingkan. Seorang guru bukan hanya pengajar ilmu pengetahuan namun adalah juga pendidik akhlak.
Akhir-akhir kini, kita sudah biasa sangat mendengar anak-anak muda yang masih di bangku sekolah bercakap dengan orang lebih tua dengan gaya dan bahasa yang sangat kasar, tidak ada lagi tertib adab menghormati. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan, “Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni.”
Keseimbangan antara pemerolehan ilmu pengetahuan dengan keperibadian akhlak seharusnya terus menjadi pegangan kita semua. Dalam hal ini, rumah tangga dan sekolah adalah wadah pertama yang perlu memainkan peranan masing-masing dengan sempurna. Ibu bapa juga tidak sewajarnya hanya bersikap ‘menswastakan’ pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Kedua-dua pihak seharusnya seiringan dalam membina keperibadian terbaik buat anak-anak .
Justeru, semua pihak seharusnya kembali melihat kepentingan didikan akhlak dan moral sebagai agenda utama untuk disediakan kepada anak-anak. Jangan hanya berbangga dengan hebatnya akademik, sedangkan pada ketika yang sama, aspek akhlak peribadi begitu merosot sekali.
Akhir sekali mari kita hayati secara mendalam maksud pantun berikut ini. ‘Teguh rumah kerana sendi. Runtuh sendi rumah binasa. Sendi bangsa ialah budi. Runtuh budi maka runtuhlah bangsa.
Sumber: Utuan