Van Terbabas Dalam Gaung, Guru Prasekolah Maut


KOTA TINGGI – Seorang guru prasekolah maut manakala duan anak lelakinya cedera selepas van jenis Perodua Rusa yang dipandunya terbabas ke dalam gaung di Jalan Tanjung Sedili-Tenggaroh Selatan 1 dan 2, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika Noor Hafizah Masbol, 37, dikatakan dalam perjalanan dari arah pekan Tanjung Sedili menghala ke Felda Tenggaroh Selatan.

Rahmat berkata, kenderaan yang dipandu ibu tunggal yang tinggal di Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh Selatan itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum terbabas ke dalam gaung.

“Kemalangan menyebabkan Noor Hafizah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala anaknya Nur Amin Noorwansah, 10, dan Nur Amir, 8, cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Rahmat berkata, mayat Noor Hafizah dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala yang lurus dan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan. Permukaan jalan juga adalah kering dan cuaca baik pada waktu petang,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA