VIDEO: Saya Hanya Ingin Mendidik Anak Murid Saya - Guru Smart Reader

Teacher Lee
Susulan dari isu video aksi seorang guru di sebuah pusat pendidikan prasekolah menengking murid secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai tohmahan negatif khasnya golongan ibu bapa, guru wanita terbabit tampil memberi penjelasan.


Memetik pautan video yang dimuat naik di laman Facebook Smart Reader Kids, guru wanita tersebut yang dikenali sebaagai Teacher Lee memohon maaf dan menyatakan sebab utama mengapa dia memarahi dengan nada yang lantang.

Menurut Lee, tindakannya itu adalah kerana ingin mendidik anak muridnya itu selepas salah seorang daripadanya terlibat dalam satu pergaduhan di dalam kelas.

Dia yang juga merupakan guru disiplin di pusat didikan tersebut turut meluahkan rasa kesalnya ekoran segelintir pihak yang tidak mengetahui cerita sebenar menuduh sebagai individu tidak berperikemanusian, walhal tindakannya itu adalah demi kebaikan murid berkenaan.

Di bawah, kami terjemahkan kepada Bahasa Melayu agar ia memudahkan pembaca memahami penjelasannya. -Kedahnews.com
Saya lah  guru yang dirakam di dalam video. Saya memohon maaf kerana mungkin suara saya terlalu lantang bila saya memarahi anak-anak didik. Tetapi ingin saya katakan, saya cuba melakukan yang terbaik untuk mendidik mereka tentang apa yang baik dan buruk. Dan lelaki terbabit tidak memberikan saya peluang untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu. Saya cuba melindungi anak-anak didik di sini yang juga sebagai ibu mereka.

Saya rasa sedih dengan apa yang berlaku. Apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan mereka sebenarnya. Dan lelaki itu datang ke sini begitu saja. Dia lelaki dan saya perempuan, saya perlu melindungi diri saya dan anak-anak didik.

Di sini, semua ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka mengenali saya sebagai guru disiplin. Saya terpaksa bertindak demikian dan dengan cara itu kita dapat mengawal mereka dan berkelakuan baik.

Mungkin suara saya terlalu lantang, tetapi adakah perbuatan menumbuk murid yang lain itu satu perbuatan yang betul? Mungkin mereka bermain tetapi kebanyakan insiden mula berlaku dari saat mereka bermain. Saya perlu mengelakkan perkara seperti ini berlaku untuk melindungi kanak-kanak yang lain. Saya tidak mahu mereka mendapat sebarang kecederaan semasa berada di tempat ini.

Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sini kerana mereka percaya pada kami. Mereka tahu kami berkemampuan mendidik anak-anak mereka dengan baik. Dan bila di sekolah, sayalah guru dan juga sebagai ibu yang menjaga dan mendidik mereka. Kami perlu memberitahu mereka tentang apa yang baik dan apa yang buruk.

Saya tidak tahu mengapa lelaki itu datang ke sini dan langsung tidak memberi peluang untuk saya berikan penjelasan. Saya ada cuba memberikan penjelasan namun dalam video itu tidak ditunjukkan.

Saya benar-benar sedih. Saya berikan usaha yang terbaik dalam bidang didikan kanak-kanak ini, namun apa yang saya dapat? Seorang individu datang menerjah kami dan merakam video tanpa mendengar sebarang penjelasan kami.

Selepas kejadian ini berlaku, saya sentiasa berfikir, apakah tindakan saya tempoh hari adalah tidak betul? Saya ajak anak-anak didik agar jangan menumbuk rakan mereka yang lain, adakah itu tidak betul?

Banyak jenis pekerjaan di luar sana, tetapi mengapa saya memilih untuk menjadi guru? Sebab saya suka kanak-kanak dan mahu mendidik mereka. Saya berasa selesa bila dapat mendidik mereka. Kenapa saya tak jadi kerani saja meskipun gaji saya kini sama saja dengan jawatan itu? Dan sebagai kerani, hanya perlu menghadap boss saja. Namun sebagai guru, anak-anak didik akan membuatkan anda marah dan anda perlu bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

Saya sedih tetapi saya rasa dihargai bila ada segelintir ibu bapa yang menghantar mesej kepada saya mengatakan mereka menyokong saya. Saya tidak tahu mengapa lelaki ini memuat naik video terbabit untuk merosakkan hidup saya dan pusat didikan ini. Saya rasa bersalah kerana perkara ini telah mendatangkan masalah terhadap majikan dan pihak HQ Smart Reader.