Mohd Ridzuan (kanan) bersama Wahirah, Mohd Faizal dan Che Noor Azira (kiri) menceritakan mengenai krisis air di rumah mereka dekat Kampung Nelayan Tanjung Dawai. |
TANJUNG DAWAI – Seorang wanita dari Kampung Nelayan, Tanjung Dawai mendakwa krisis air menjadi punca dirinya mengalami keguguran berikutan terpaksa mengangkut air lebih banyak untuk kegunaan Aidilfitri.
Che Noor Azira Che Hassan, 23, berkata, ketiadaan bekalan air di kampungnya kira-kira dua bulan lalu menyebabkan penduduk terpaksa berusaha melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan bekalan tersebut.
Menurutnya, sejak bekalan itu berkurangan, suami, Mohd Ridzuan Yahaya, 30, yang melakukan tugas mengangkut air setiap malam, tetapi disebabkan penggunaan meningkat pada malam raya, dia terpaksa membantu terutama ketika suami tiada di rumah.
“Malam raya saya nak guna air untuk banyak kerja, nak memasak, mandi, cuci baju, cuci pinggan mangkuk dan lain-lain. Saya angkut juga tapi dibantu kakak, kalau boleh nak ada air yang banyak sebab ramai yang nak balik beraya di rumah.
“Raya ketiga, saya dah mula rasa nak demam dan tumpah darah. Sebab tak tahan, suami terus bawa ke hospital,” katanya.
Ketika itu dia baru sahaja mendapat tahu dirinya hamil selepas buat ujian kehamilan seminggu lalu namun tidak menyangka usia janin disahkan memasuki 13 minggu selepas pemeriksaan doktor dilakukan.
“Doktor cakap mungkin ada buat kerja berat sebelum keguguran,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wahirah Abdullah, 21, dari Kampung Huma, Tanjung Dawai berkata, dia juga pernah melalui situasi sama iaitu keguguran ketika berdepan krisis air April lalu.
“Kami kerap mengalami masalah bekalan air sehingga menyebabkan penduduk terpaksa angkut air setiap hari, antara yang paling sukar ialah golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
“Tak sangka saya keguguran sebab tak tahu kemungkinan mengandung, sebab selalu angkut air di rumah,” katanya yang tinggal bersama kedua ibu bapa yang sudah uzur.
Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya memandang serius isu ketiadaan bekalan air yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan keluarga terutama ibu yang mengandung.
“Saya berharap agar kerajaan negeri cepat bertindak mencari penyelesaian terbaik dengan segera memandangkan isu bekalan air sudah berlarutan beberapa minggu. Pendedahan dibuat bukanlah untuk mencari salah siapa tetapi sebaliknya mahukan penyelesaian selain membela nasib rakyat.
“Saya tak mahu perkara sama berulang kepada wanita lain dan meminta mereka lebih berhati-hati berdepan krisis air,” katanya.
Suami Wahirah, Mohd Faizal Budin, 30, berkata, sebagai suami dia terkilan isterinya keguguran setelah setahun menunggu, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana semuanya sudah tertulis.
“Lepas kejadian, saya langsung tak benarkan dia buat kerja apatah lagi angkut air dari luar rumah, disebabkan itu kami mohon prihatin pihak berkenaan dapat selesaikan isu ini dengan segera,” katanya.
Sumber: Sinar Harian