Warga Malaysia, Singapura Masuk Indonesia Diperiksa Lebih Ketat


JAKARTA – Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rambang tidak lama lagi.

Pengawasan dan pemeriksaan ketat itu adalah untuk memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang, terutamanya dadah.

Ini dinyatakan oleh syarikat pengendali lapangan terbang di seluruh Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan rasmi yang dipetik oleh media-media tempatan.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II, Budi Karya Sumadi berkata tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari dua negara berkenaan.

“Dalam diskusi kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia.

“Oleh kerana itu, Menteri Perhubungan akan menyetujui ‘random check-in‘, dari pesawat penumpang dua tujuan itu,” kata Budi.


Beliau berkata pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

Budi berkata pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. – Bernama