Yang Di-Pertuan Agong Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini, semalam.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan hari keputeraan rasmi baginda.

Turut hadir pada istiadat yang julung kali diadakan di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Hadir sama Panglima ATM Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin.

Lima panji-panji yang diarak semalam ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM).

Keberangkatan tiba pasangan diraja di Dataran Pahlawan Negara tepat 8.30 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.


Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik Hormat Diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 23 pegawai dan 490 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman.

Pada masa sama, lima helikopter milik ATM iaitu Cougar, Super Lynx, Fennec, Agusta dan Sikorsky melakukan lintas hormat terbang di ruang udara Dataran Pahlawan Negara membawa bendera Malaysia, ATM, TUDM, TLDM dan Tentera Darat Diraja Malaysia.

Gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya kemudiannya masuk membuka medan dengan persembahan rangkaian lagu-lagu patriotik.

Sejurus itu, istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.


Istiadat diakhiri dengan bacaan doa Ketua Pengarah Kor Agama ATM Mej Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Tuanku Abdul Halim sekali lagi menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM bersekali dengan alunan lagu Negaraku.

Hadir sama ke istiadat itu ialah menteri-menteri Kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa suruhanjaya tinggi serta kedutaan di negara ini.

Istiadat Panji-Panji merupakan suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen Kor ATM sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang pasukan keselamatan itu kepada negara. – BERNAMA