ANTARA isu yang sering menjadi perhatian masyarakat terutamanya dalam bulan Ramadan adalah mengenai zakat. Isu ini timbul setiap kali ada laporan atau pendedahan oleh media berkenaan fakir miskin yang terdapat dalam negara. Penangan media sosial juga menyebabkan isu tidak menerima bantuan ini seringkali menjadi panas.
Sepanjang dua atau tiga minggu lepas, penulis acap kali ditanya oleh rakan-rakan berkenaan orang miskin dan zakat ini. Apabila berita-berita kemiskinan dijadikan viral sama ada dalam Facebook, WhatsApp dan saluran media sosial lain, maka banyaklah persoalan timbul dalam kalangan masyarakat. Penulis pula dijadikan tempat seperti kaunter pertanyaan.
Melihat kepada respons masyarakat dalam media sosial, wujud bermacam-macam komen. Ada yang pedas dan ada yang lembut. Ada yang kata bahawa isu ini sudah lama dan wajar dicari penyelesaian segera. Ada juga yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah ini.
Penulis memerhatikan bahawa trend masyarakat apabila timbul isu seperti ini boleh dikategorikan kepada tiga keadaan, iaitu positif, negatif dan tidak ambil peduli. Bagi golongan positif, mereka tidak mempercayai bulat-bulat berita yang dibaca. Biasanya, mereka akan mengambil inisiatif sendiri untuk berkunjung ke rumah fakir miskin tersebut. Ini bagi memastikan maklumat yang disampaikan melalui media sosial adalah boleh dipercayai.
Dalam hal ini, laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai Aishah Omar atau Mak Esah yang mengambil inisiatif sendiri bagi membantu golongan kurang berkemampuan adalah antara contoh individu yang proaktif. Dalam laporan tersebut didedahkan mengenai usaha beliau dan keluarga menyediakan bungkusan-bungkusan barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada keluarga miskin terpilih di beberapa buah kampung di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Usaha ini wajar dicontohi oleh semua masyarakat.
Bagi yang negatif pula, mereka seringkali meluahkan rasa marah dan geram kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan bantuan kepada fakir miskin. Antara institusi yang kerap dihentam adalah institusi zakat dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid dan lain-lain lagi.
Bagi golongan ini, dakwaan yang dibuat mereka ada kala benar tetapi kebanyakannya tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui hujah-hujah mereka yang disokong dengan pengalaman dan laporan-laporan yang mereka ada. Namun, kebanyakan komen mereka ada juga yang tidak berasas, terlalu emosional dan terlalu menyalahkan pihak lain tanpa usul periksa.
Golongan ketiga pula adalah yang tidak mempunyai perasaan dan ambil tahu. Bagi mereka, selagi tiada kena mengena dengan diri atau keluarga atau jiran mereka, maka ia bukan masalah mereka. Ramai juga masyarakat kita yang berada dalam golongan ini.
Tapi apa yang menariknya, isu zakat kali ini bukan hanya menarik perhatian masyarakat Muslim sahaja. Ada juga individu beragama lain memperlekeh dan ada pula yang mempertahankan institusi zakat.
Berita mengenai seorang individu berbangsa Cina yang membawa sebuah keluarga miskin makan di restoran yang menjadi viral baru-baru ini menunjukkan bangsa lain juga sangat prihatin kepada masyarakat yang kurang kemampuan. Ada juga komen dari rakan kaum India yang mempertahankan institusi zakat. Beliau mendakwa melihat sendiri banyak bantuan dan usaha yang telah dilaksanakan oleh institusi zakat dalam membantu golongan asnaf.
Keprihatinan kelompok masyarakat dan usaha yang dilakukan oleh jabatan-jabatan seperti institusi zakat adalah sangat baik. Banyak sudah jasa mereka kepada masyarakat. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ada semacam satu gerakan ke atas institusi zakat. Tempat pengurusan dan pentadbiran hal ehwal zakat ini diberi imej negatif.
Institusi ini digambarkan sebagai tidak efektif, tidak cekap dan gagal membantu masyarakat. Lebih teruk lagi mereka disalahkan setiap kali ada isu kemiskinan dipaparkan dalam media massa dan media sosial. Ada juga pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan penyelewengan wang zakat. Kata mereka kutipan mencecah bilion ringgit, namun masih banyak masyarakat yang tidak mendapat duit zakat.
Dalam keadaan sekarang, sukar untuk mempercayai institusi zakat telah gagal memainkan peranannya. Memang benar kutipan zakat mencecah berbilion ringgit dan kutipan ini meningkat dari setahun ke setahun. Adakah peningkatan kutipan ini masih tidak melambangkan kecekapan dan keberkesanan institusi?
Selain peningkatan kutipan, berlaku juga perubahan ketara dalam pengagihan zakat. Setiap tahun jumlah bantuan kepada asnaf semakin meningkat. Bilangan asnaf yang dibantu turut meningkat. Pelbagai bentuk program agihan juga telah diperkenalkan. Malah, penulis sendiri melihat berpuluh-puluh kaedah agihan zakat telah dilaksanakan oleh hampir semua institusi zakat yang ada dalam negara.
Staf-staf institusi juga zakat tidak hanya berpeluk tubuh di dalam pejabat. Mereka ini sangat kreatif dan bersungguh-sungguh dalam menjejaki asnaf. Mereka mewujudkan skuad jejak asnaf, bekerjasama dengan penduduk setempat, keluar masuk kampung tidak kira siang ataupun malam. Kadang-kadang mereka ini terpaksa menjelajah berpuluh-puluh kilometer dalam sehari bagi mencari asnaf untuk dibantu.
Mengenai dakwaan ada sebilangan kecil masyarakat tidak mendapat bantuan zakat, penulis percaya institusi zakat telah berusaha kuat untuk menjejaki mereka. Namun, apakan daya dengan kekangan tertentu, ada yang terlepas daripada radar mereka. Di sinilah peranan masyarakat sebenarnya. Bantulah menghulurkan maklumat asnaf terus kepada institusi zakat.
Jasa institusi ini kepada masyarakat khususnya orang Islam sangat besar. Golongan fakir miskin sentiasa dibantu dan ini pasti dapat meringankan beban mereka. Anak-anak fakir miskin terus diberi bantuan pendidikan agar mereka dapat membantu keluarga pada masa hadapan. Di Kedah sahaja, lebih RM5 juta telah diagihkan kepada 4,243 orang pelajar universiti awam dan swasta dalam tempoh Januari hingga Jun 2016. Tidakkah semua ini menggunakan wang zakat yang diberikan oleh kita semua?
Kepada ‘pahlawan’ media sosial, rajin-rajinlah mencari maklumat yang sahih. Usah cepat menuding jari menyalahkan pihak berkuasa zakat jika ada isu kemiskinan menjadi viral. Jadilah masyarakat yang rasional dan sentiasa mencari kebenaran.
*PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Safinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia (UUM)/Utusan