Setelah lima tahun tidak mampu melaksanakan ibadah korban, imam masjid di sebuah perkampungan nelayan di Pulau Nias terharu apabila dimaklumkan kampungnya menerima sumbangan seekor kerbau bagi tujuan ibadah tersebut tahun ini.
Imam berkenaan yang dikenali sebagai Ustaz Jamal hanya mampu menahan sebak dengan mata berkaca, menadah tangan mengucap kesyukuran kepada Allah SWT atas sumbangan yang tidak diduga itu.
"Sejujurnya sudah lebih lima tahun kami tidak mampu melaksanakan ibadah ini. Kami tak punya wang. Kutipan tabung setiap hari Jumaat hanya sekitar Rp60,000 (kira-kira RM20), macam manalah kami nak kumpul wang Rp16 juta (kira-kira RM5,000) untuk membeli kerbau.
"Yang 5 tahun lepas itupun cuma seekor kambing sedangkan ada lebih 100 keluarga yang mendambakannnya, bayangkan," katanya kepada Syahril A. Kadir, yang hadir ke kampungnya itu menyampaikan sumbangan.
Menurut Syahril, dia dan beberapa orang rakannya "terbang" ke Pulau Nias bagi menyempurnakan amanah keluarga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis bagi menyerahkan sumbangan kepada masyarakat Islam di pulau berkenaan.
"Begini pak, saya hanya menyampaikan amanah pimpinan saya untuk menyumbangkan seekor kerbau untuk penduduk desa ini, harap sudi menerimanya," jelas Syahril kepada Ustaz Jamal yang dipetik dari laman Facebooknya.
Desa Lahewa, Helera dan Afia adalah antara perkampungan di pedalaman Pulau Nias, Sumatera, yang difahamkan sudah lama tidak mampi merasai walau secubit daging korban dan menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini.
Difahamkan bahawa Syahril merupakan antara individu yang menggalas amanah menyampaikan pelbagai sumbangan dari pihak Allahyarham setiap tahun kepada masyarakat Islam di Pulau Nias sejak pulau tersebut dilanda Tsunami pada Mac 2005.
Syahril yang merupakan seorang bekas wartawan akhbar Utusan juga merupakan antara wakil media Malaysia pertama yang tiba di pulau itu ketika bencana yang meragut ratusan nyawa untuk membuat liputan di sana. -Kedahnews.com