65 Pusat Internet 1 Malaysia Beroperasi Akhir 2016


LUMUT – Perak akan mempunyai sejumlah 65 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negeri menjelang hujung tahun ini, kata Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Utara, Ismail Othman.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 50 PI1M telah dibuka di seluruh negeri manakala 15 lagi dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

“Setakat ini, sebanyak 152 PI1M beroperasi sepenuhnya di wilayah utara yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

“PI1M membolehkan penduduk pedalaman mengakses Internet jalur lebar serta menikmati kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis perasmian Sukarelawan Antarabangsa ICT dari Korea Selatan di Arena Square Pangkor di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi.

Seramai empat sukarelawan antarabangsa dari Korea Selatan terlibat dalam program berkenaan yang dianjurkan MCMC bagi menyahut saranan kerajaan dalam membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara pintar digital. – BERNAMA