AADK Serbu Sg Petani, 4 Penagih Diberkas

Antara remaja lelaki yang ditahan pihak AADK. (Gambar kecil: Peralatan menghisap dadah yang ditemui di rumah penagih).
SUNGAI PETANI - Seramai empat penagih ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda di beberapa lokasi perumahan berasingan sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Antara lokasi diserbu ialah Taman Desa Aman, Taman Ria Jaya, Bandar Puteri Jaya dan Taman Pekula Jaya.

Operasi yang dijalankan hampir enam jam itu melibatkan lima anggota penguat kuasa yang diketuai Pegawai AADK, Norzarenawati Osman.

Pengarah AADK Kedah, Mohamad Nazer Mustafa berkata, kesemua serbuan itu dilakukan hasil aduan orang ramai dan ahli keluarga penagih.

Menurutnya, dalam sebuah pertama di Taman Pekula Jaya, pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang bekerja sebagai buruh di kilang kayu.

"Hasil soal siasat mendapati remaja berkenaan terlibat dalam penagihan dadah sejak di peringkat sekolah lagi dan tidak pernah ditahan pihak berkuasa.

"Dalam serbuan kedua di Taman Desa Aman, Sungai Lalang pula, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai sebagai orang suruhan seorang tokan dadah di sekitar kawasan Sungai Lalang,” katanya.

Mohamad Nazer berkata, dalam tangkapan seterusnya, pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah.

"Remaja itu didapati sering menunjukkan sikap agresif terhadap ibu bapa dan tidak mahu bersekolah selepas terlibat dalam penagihan dadah jenis syabu.

“Dalam tangkapan keempat di sebuah rumah di Bandar Puteri Jaya, seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai peniaga ditahan.

"Lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun,” katanya.

Katanya, kesemua penagih yang ditahan dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari masa ke semasa dan berharap masyarakat setempat akan sentiasa menyalurkan aduan mengenai kegiatan dadah di kawasan mereka.

Sumber: Sinar Harian