Abraj Kudai: Hotel Terbesar Di Makkah Sedang Dibina


SEBUAH hotel setinggi 45 tingkat yang sedang dalam pembinaaaan di bandar suci Makkah, Arab Saudi bakal digelar sebagai terbesar di dunia.

Hotel yang diberi nama Abraj Kudai ini dikatakan memiliki 10,000 bilik, 70 buah restoran, 12 menara dan empat pad helikopter.

Bangunan yang dibina di kawasan padang pasir seluas 4.5 juta meter persegi ini dijangka bakal dibuka kepada umum tahun hadapan.

Kos pembinaan hotel ini dikatakan mencecah hampir RM14 bilion dan dibiayai Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Difahamkan, pekarangan hotel ini akan menempatkan sebuah stesen bas, pusat beli-belah, restoran, gerai makanan, pusat persidangan dan tempat letak kereta.

Hotel ini juga mempunyai sebuah dewan besar dan pusat konvensyen.


Sebanyak 10 menara hotel itu menawarkan layanan perkhidmatan empat bintang manakala, dua lagi menara lima bintang.

Manakala, lima tingkat teratas akan dikhususkan kepada keluarga kerabat diraja Saudi.

Untuk rekod terkini, hotel terbesar di dunia berdasarkan jumlah bilik kini adalah  First World Hotel di Genting Highlands, Malaysia, yang mempunyai 7,351 bilik.

Seterusnya kedudukan kedua diikuti MGM Grand di Las Vegas, Amerika Syarikat dengan 6,198 bilik. –Kedahnews.com