Adi Putera, Isteri Pertama Antara Dijemput Allah Tunai Haji Musim Ini


KUALA LUMPUR – Pelakon Adi Putra berangkat ke tanah suci Makkah pada Isnin bersama-sama dengan isteri pertamanya bagi menunaikan ibadah fardu haji.

Adi, 35 tahun; turut memuat naik gambar beliau dengan isterinya itu, Aida, 41 tahun; menerusi laman Instagram beliau pagi 29 Ogos, menurut laporan Berita Harian.

Anak kelahiran Singapura dengan nama penuhnya Mohamed Hadi Putera Halim turut memohon agar segala salah dan silapnya dimaafkan.

Sebahagian peminat melahirkan rasa bersyukur dan mendoakan semoga urusan pasangan itu berjalan lancar memperoleh haji mambrur.

“Assalamualaikum, kami mohon ampun dan maaf kepada semua sekiranya ada kesalahan dan kesilapan. Dan kami ambil kesempatan di tanah suci untuk mendoakan kepada semua,” menurut catatan beliau.

Mereka berdua merupakan antara kira-kira 700 rakyat Singapura yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi menerusi kuota haji umat Islam warga republik tersebut.

Dalam pada itu Aida atau nama penuhnya Zuhaida Yusof turut dipuji kerana masih setia dan tenang di sisi Adi, meskipun suaminya baru sahaja mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Sebelum ini, Adi mencetuskan kontroversi apabila tersebar gambar beliau bernikah dengan seorang penjawat awam wanita yang bernama Norshahida Zolkafly, 33 tahun; pada 20 Jun lalu.

Semasa mengadakan sidang media khas di sini baru-baru ini, Adi mengaku sudah pun bernikah buat kali kedua.

Namun, tidak lama selepas itu, isteri keduanya dilaporkan antara 28 orang yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. –Kedahnews.com