ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah menyambut "baik" cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencadangkan diwujudkan 'jawatan baru', Timbalan Menteri Besar bagi negeri itu.
Namun begitu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memberitahu bekas Menteri Besar tersebut bahawa tidak ada sebarang peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah untuk membolehkan jawatan itu diwujudkan.
"Hasil konsensus dari kalangan Adun BN mahupun kelompok pelaksana dasar itu sendiri, maka apa yang dicadang Adun Ayer Hitam (Mukhriz) supaya diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar tidak berbangkit sama sekali.
"Demikian juga soal penggantian Menteri Besar. Yang Berhormat Ayer Hitam lebih maklum bahawa hak melantik Jemaah Menteri dan juga Menteri Besar adalah hak Ketua Parti (pemerintah). Dalam kes ini, (ia adalah) Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," jelasnya bersahaja, menyindir pedas Mukhriz yang seolah tidak tahu tentang undang-undang tubuh negeri itu.
Malah kata Ahmad Bashah, ketika bekas Menteri Besar Kedah dari PAS, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, Adun-Adun Barisan Nasional (BN) langsung tidak mempersoal kedudukan arwah sebagai Menteri Besar walaupun beliau kerap sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
"Ketika Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak ditimpa musibah sakit, Adun BN ketika itu selaku pembangkang, tidak mencampuri urusan dalaman Pakatan dengan mendesak diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar," tegasnya Ahmad Bashah yang mula menjadi Adun Kedah sejak 1995 lagi.
Menteri Besar itu berkata demikan semasa mengggulung perbahasan menjunjung titah kasih ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah, pada sidang Dun Kedah, di sini, hari ini.
Mukhriz kelmarin difahamkan cuba mempertikai kemampuan Ahmad Bashah untuk melaksana tugas sebagai Menteri Besar setelah mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pembedahan akibat komplikasi usus sebelum ini.
Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata berkata, beliau tidak menjangka mengalami masalah kesihatan hampir sebulan ketika baru dilantik menjadi Menteri Besar, namun keadaan kesihatannya kini kembali pulih dan menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.
Bagaimanapun, sepanjang menjalani rawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din, yang diibaratkannya sebagai "Panglima" yang begitu komited menjalankan tugas-tugas pentadbiran negeri sepanjang ketiadaannya. -Kedahews.com.