Aliff Syukri Tak Kisah Iklan Gedik Jadi Ikutan Ramai

WALAUPUN aksi ‘gedik menggelenyar’nya sering mengundang kritikan orang ramai, namun strategi pengiklanan Pengasas produk D’Herbs, Datuk Aliff Syukri nampaknya sangat efektif.

Ini kerana kaedah beliau itu kini menjadi ikutan kepada produk-produk lain yang baru mahu mencari tempat dalam pasaran.

Mengambil contoh iklan produk ‘Jus Khazanah Megah Perawan’ lakonan seorang wanita bernama Kak Mawar atau produk jamu ‘Ketat Mencengkam’ yang menampilkan Liana Rosli, kedua-dua iklan itu menggunakan pendekatan gedik ke arah  sexual innuendo atau unsur seksual sebagai daya penarik untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Persoalannya, apakah Aliff Syukri berasa terkesan dengan trend yang dicetuskan olehnya?

Sebuah portal telah menemubual Raja Kosmetik itu sendiri untuk mendapatkan pendapat beliau tentang isu ledakan iklan ‘geli-geli’ dalam industri kecantikan tanah air hari ini.

“Setiap syarikat mempunyai satu imej yang berbeza. Mungkin ramai yang meniru kuasa pengiklanan saya tetapi apa yang saya buat ini (seakan-akan menjadi) pioneer (perintis),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu "Jeng, Jeng, Jeng", nyanyian Yubi Band yang juga merupakan runut bunyi filem animasi terbaru Upin & Ipin, di Subang Parade, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md. Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim atau Norman KRU.

Tambah Aliff Syukri, dia berpendapat jika strategi pengiklanannya itu mencetuskan ilham kepada pemilik produk lain dan mereka juga ingin melakukan strategi yang sama, beliau tidak merasakan itu satu isu yang besar.

“Saya tak kisah sangat. Siapa nak tiru, saya tak halang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aliff Syukri bakal menyerikan industri perfileman pula setelah dipilih untuk menjadi peneraju utama filem Badang Superb arahan Profesor Datuk A. Razak Mohaideen.

Selain itu, beliau juga bakal mengeluarkan produk baru khas buat kanak-kanak dan peminat Upin & Ipin dengan siri Jus Pintar dan syampu kanak-kanak, "Jeng, Jeng, Jeng". – Kedahnews.com