Anak Kontraktor Direman Bantu Siasat Kes Rasuah RM76 Juta


PUTRAJAYA - Seorang kontraktor direman lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah bagi projek "pipeline" di selatan tanah air berjumlah RM76 juta.

Lelaki 27 tahun itu merupakan anak kepada seorang kontraktor yang  masih direman sejak Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes yang sama.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa untuk mereman lelaki itu sehingga 3 September.

Kontraktor itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika tampil memberi keterangan pada 5 petang Isnin.

SPRM juga merampas barangan kemas bernilai jutaan ringgit dan tiga buah kereta mewah di rumahnya di Kuala Lumpur.

SPRM dalam pada itu turut memperoleh perintah mahkamah untuk mereman enam individu selama empat hari sehingga 2 September berkaitan kes yang sama.

Mereka yang berumur antara 35 hingga 60 tahun itu terdiri seorang pengurus besar sebuah syarikat cari gali minyak dan lima kontraktor.

Sementara itu, seorang pengurus projek syarikat minyak dan gas berusia 60 dan seorang kontraktor berumur 51 tahun pula dibebaskan SPRM setelah siasatan selesai.

Khamis lalu, lapan lelaki itu ditahan berasingan oleh SPRM di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan "pipeline" di selatan tanah air itu. - BERNAMA