Anak Kucing Hampir Jadi "Santapan" Biawak Komodo


SEEKOR anak kucing nyaris saja menjadi ‘santapan’ biawak komodo setelah terjatuh ke dalam kandang reptilia itu di zoo haiwan Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, anak kucing berkenaan bernasib baik apabila seorang penjaga zoo berkenaan ternampak haiwan kecil berwarna hitam dan jingga itu lalu menyelamatkannya daripada ditimpa nasib malang.

Menurut sebuah laman anatarabangsa, tidak dapat dipastikan bagaimana anak kucing itu berjaya menyelinap masuk ke dalam kandang haiwan buas berkenaan.

Sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Humane Society merawat anak kucing itu selepas dia menjalani pengalaman buruknya di kandang komodo tersebut.

Kucing yang didakwa berusia satu bulan itu akan ditawarkan kepada warga bandar itu setelah dia cukup dewasa dan berdikari.

“Kucing kecil ini sangat bertuah kerana tak terluka. Dia kini dinamakan Komodo dan tetap kami rawat sehingga dia cukup besar untuk dipertimbangkan,” ujar organisasi tersebut.

Pihak Humane Society turut memuat naik gambar dalam  akaun Facebooknya, dan ramai warga bandar itu sanggup untuk menjadikan anak kucing itu sebagai ‘anak angkat’ mereka. -Kedahnews.com