Anak Patah Rahang Dipukul Dalam Kelas Di Alor Setar

Saraswari (kanan) menunjukkan laporan polis, manakala Livandaran menunjukkan gambar keadaan mulutnya.
ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Bandaraya Alor Setar, di sini, mendakwa perlu menjalani pembedahan selepas cedera dalam satu pergaduhan pada 21 Julai lepas.

Mangsa, S Livandaran, 17, dipercayai tidak mampu makan dan bercakap normal akibat kecederaan di bahagian rahang bawah mulut, luka di tapak tangan kiri dan lebam.

Ibu mangsa, M Saraswari, 43, berkata, anak lelakinya kini terpaksa menerima rawatan pemasangan arch bar bagi gigi atas dan bawah berikutan tulang rahang bawah mulut patah.

“Malah, anak saya hanya boleh minum susu guna straw sejak lebih 10 hari lalu, sebab tak mampu nak buka mulut akibat kecederaan itu.

“Mengikut doktor, kami sekurang-kurangnya perlu keluarkan kos lebih kurang RM1,000 lagi untuk pembedahan Livandaran demi merawat kecederaan itu,” katanya.

Mengulas lanjut punca kecederaan itu, kata Saraswari, insiden bermula di sebuah kelas tingkatan dua apabila berlaku perselisihan faham antara anaknya dengan dua pelajar.

Difahamkan, pelajar tingkatan tiga berkenaan bertindak menumbuk muka dan menyepak badan menggunakan kaki dan tangan hingga mengakibatkan rahang dan dagu mangsa patah.

“Ketika kejadian, dua rakan Livandaran yang turut berada di tempat kejadian cuba membantunya, bagaimanapun dihalang sekumpulan pelajar dipercayai rakan kepada dua pelajar terbabit.

“Kemudiannya, anak lelaki saya menghubungi saya untuk datang ke sekolah. Bagaimanapun, saya terkejut melihat keadaan mukanya berdarah dan lebam,” katanya.

Pada mulanya, kata Saraswari, Livandran memaklumkan dia tercedera akibat terjatuh, namun akhirnya mengakui dipukul pelajar sekolah berkenaan selepas disoal lanjut.

Katanya, anaknya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana patah rahang bawah sebelah kiri, luka di tapak tangan kanan dan hidung berdarah akibat ditumbuk.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, Saraswari membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, pada 21 Julai lalu.

Bagaimanapun Saraswari berkata, mereka sekeluarga terkilan cara seorang guru sekolah berkenaan dalam menangani kes anak bongsu dari tiga adik-beradik itu.

Mereka sekeluarga juga kecewa apabila masih tidak menerima jawapan daripada pihak sekolah sehingga ke hari ini berhubung kes itu, sebelum membuat laporan polis kedua, kelmarin.

Saraswari berkata, laporan itu dibuat kerana tidak berpuas hati terhadap guru terlibat dan berharap pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya menyelesaikan kes itu.

Jelasnya, dia bimbang masa depan anaknya yang akan menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 21 Ogos depan terganggu disebabkan kes itu.

“Anak lelaki saya kini mengambil sijil cuti sakit (MC) sejak hari kejadian hingga 3 Ogos, malah mendakwa trauma ke sekolah disebabkan guru itu,"w  ujarnya.

Sehubungan itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan berkata, pihak sekolah telah mengadakan Majlis Permuafakatan Bersama Waris Pelajar di bawah pemantauan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar di sekolah berkenaan pada hari sama, kira-kira jam 9.30 malam.

Namun hasil perbincangan tidak dapat dimaklumkan kepada media.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes pelajar terbabit.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana rusuhan dan pelajar tingkatan tiga ditahan polis pada hari kejadian.

“Pelajar berkenaan telah dibebaskan selepas keterangan diambil, namun polis masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut," katanya.

Sumber: Sinar Harian