Anak Tun Daim Diisytihar Bankrap Di Singapura


SINGAPURA – Md. Wira Dani, anak lelaki kepada bekas menteri kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin diisytiharkan muflis di Singapura selepas gagal membayar hutang kepada Maybank Kim Eng Securities.

Menurut laporan akhbar ternama di Singapura, The Straits Times, beliau gagal membayar hutang berjumlah S$1.65 juta (kira-kira RM4.92 juta) setelah Maybank mendapat perintah mahkamah pada Mac lalu meminta bayaran balik hutang S$2.459 juta (kira-kira RM7.34 juta).

Md. Wira dikatakan meminjam sejumlah pegangan dalam firma LionGold Corp. Beliau yang pernah menjadi pengarah bukan eksekutif di syarikat itu, mulanya bersetuju untuk membuat bayaran ansuran tetapi hanya melangsaikan S$100,000 (RM298,325) setakat Ogos 2014.

Susulan arahan mahkamah tempatan di republik itu, pihak bank tersebut kemudian bersetuju dengan tawaran yang dibuat oleh peguam Md. Wira untuk cuma membayar balik sebanyak S$1 juta (RM2.9 juta) dalam dua transaksi antara April hingga Jun tahun ini.

Maybank Kim Eng Securities bagaimanapun hanya menerima S$835,950 (kira-kira RM2,493,853), sekali gus membawa kepada pengisytiharan status bankrap itu, menurut laporan media tempatan yang memetik sumber daripada pihak mahkamah republik tersebut.

Kenyataan difailkan dengan Singapore Exchange menyebut bahawa Wira sudah meletakkan jawatan di LionGold untuk menyelesaikan hal peribadi susulan arahan muflis berkenaan. Beliau dikehendaki untuk berbuat demikian dalam tempoh 30 hari.

The Straits Times juga melaporkan bahawa pelbagai dokumen menunjukkan Md. Wira mempunyai sejumlah hartanah di Singapura. – Agensi