SETELAH bercerai dengan pemain bola sapak Aidil Zafuan, umum mengetahui pelakon Rita Rudaini gigih membesarkan dua cahaya matanya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 7, dan Airit Qaqa Arjuna, 5, berseorangan.
Walaupun bergelar ibu tunggal, Rita Rudaini ternyata berusaha sebaik mungkin menjaga dan memberikan kasih sayang buat anak-anaknya.
Buktinya, Rayyan iaitu anak sulung Rita baru-baru ini telah menulis satu karangan Bahasa Inggeris mengenai ibunya.
Rita turut memuat naik gambar karangan itu menerusi laman Instagramnya.
Dalam karangan kanak-kanak itu, Rayyan menulis bahawa ibunya merupakan pelakon, suka warna putih, setiap hari memasak untuknya, dan menjaga dia serta adiknya dengan baik.
Penulisan itu ternyata membuatkan hati Rita berasa gembira bercampur sayu.
“Baru sampai rumah, penat, letih, stress dan sedih. Tapi semuanya terubat apabila membaca karangan ini.
“Cikgu Ryan tunjuk dan beritahu hari ini kena buat karangan tentang ibu. Kena lukis ibu… tapi Ryan lukis tiga orang..
“Cikgu bagi tahu Ryan jawab ‘lukis tiga orang baru cukup’. Mommy gembira sangat tapi hati mommy sayu… hati anak mommy baik,” tulis Rita dalam kapsyennya.
Gambar tersebut turut meruntun hati ramai peminat yang membacanya hinggakan mendapat lebih dari 21 ribu ‘likes’.
Rita yang juga pemilik restoran Kueh sudah empat tahun bergelar ibu tunggal.
Bekas suaminya, Aidil telah pun mendirikan rumah tangga dengan Zarema dan mempunyai seorang cahaya mata hasil perkahwinan itu. –Kedahnews.com