Ayda Jatuh Sakit Ketika Penggambaran Di New Zealand


PELANTUN lagu Pencuri Hati, Ayda Jebat dikhabarkan jatuh sakit ketika menjalani penggambaran sebuah filem arahan sutradara terkenal, Osman Ali iaitu Pinjamkan Hatiku di luar negara akibat perubahan suhu.

Menurut sebuah portal hiburan, perubahan suhu dan cuaca yang mendadak menyebabkan Ayda mengalami sakit tekak, batuk dan selesema sehinggakan hidungnya berdarah.

“Badan saya masih lemah serta kurang bermaya. Saya mengalami sakit tekak, batuk dan selsema sehingga menyebabkan hidung saya berdarah.

“Saya berada dalam keadaan tidak sihat semenjak sampai di New Zealand. Mungkin perkara ini terjadi dek kerana perubahan cuaca yang tidak sama dengan Malaysia.

“Cuaca di sini sangat sejuk berbanding di Malaysia. Keadaan saya masih lagi lemah. Saya berharap agar keadaan saya segera sembuh dan dapat meneruskan penggambaran filem ini. Insya-Allah,” kata Ayda yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp kepada portal tersebut.

Jelas portal itu lagi, disebabkan kondisi Ayda yang lemah, proses penggambaran terpaksa dihentikan sementara waktu.

Gambar Ayda dalam keadaan berselimut dimuat naik oleh jurumekap Jlotouch di Instagramnya menjadi viral di laman sosial.

Rata-rata peminat heroin Rindu Awak 200% ini mendoakannya supaya cepat sembuh dan turut berkongsi kedukaan yang dirasai artis pujaan mereka.

Selain sibuk dengan pengambaran filem di atas, difahamkan Ayda juga tercalon dalam 5 kategori di dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 yang akan berlangsung pada September akan datang.

Antara kategorinya ialah, artis baru wanita terbaik, kolaberasi lagu terbaik, lagu paling popular APM, artis paling popular APM dan ikon media sosial. – Kedahnews.com