Bajet 2017 Perlu Ambil Kira Bantuan Orang Miskin Berbelanja


KANGAR – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata Bajet 2017 perlu memastikan golongan miskin di negara ini terus dibantu melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata bagaimanapun, kaedah pemberian bantuan itu perlu diperkemaskan supaya golongan yang benar-benar layak atau miskin tegar sahaja menikmatinya.

“Dalam Bajet 2017 yang akan dibentang Oktober ini, kerajaan kena timbang bagaimana kuasa beli rakyat terutama golongan miskin dapat ditingkatkan supaya mereka dapat membeli keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kembara Jalur Gemilang peringkat negeri di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Azlan berkata ini juga bagi mengelakkan berlakunya penipuan oleh segelintir rakyat yang tidak layak tetapi tetap menerima bantuan tersebut.

Mengenai Kembara Jalur Gemilang yang menyasarkan golongan muda itu, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan kesetiaan, kecintaan terhadap negara, semangat patriotik dan keamanan.

Pengarah Jabatan Penerangan Perlis, Ku Ismail Ku Yahya berkata hampir 30 buah kenderaan menyertai kembara itu dan singgah ke lapan buah sekolah terpilih dalam kawasan Parlimen Padang Besar, Kangar dan Arau untuk mengedarkan Jalur Gemilang. – BERNAMA