Bangga Lahir Dalam Keturunan Mulia?


ADA yang beruntung membuka mata dalam limpahan nikmat harta dan keturunan mulia. Lebih beruntung ada yang ditakdirkan oleh Allah lahir dalam keluarga mulia keturunan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Itulah hakikat hidup di dunia ini yang menjadi pentas ujian bagi manusia. Jika berjaya menempuh ujian itu maka bahagialah di alam sana. Firman Allah:
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-An’am [6:165]).
Pernah sekali murid saya yang lahir dalam rumpun keturunan Rasulullah SAW meminta pandangan berkaitan mesej yang diterimanya. Mesej tersebut menyatakan nas berkaitan kemuliaan keturunannya. Antara nas yang berkaitan adalah:
“Dan hendaklah kamu (wahai para isteri Rasulullah) tetap diam di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai Ahlul bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji),” (al-Ahzab [33:33]).
Terdapat perbincangan panjang tentang siapakah yang Allah maksudkan sebagai Ahli Bait atau keluarga Rasulullah SAW dalam ayat ini.

Banyak riwayat menunjukkan mereka adalah empat individu secara khusus iaitu Ali bin Abi Talib, Fatimah puteri Rasulullah SAW dan dua anak baginda, Hasan serta Husain.

Ada juga riwayat mengatakan mereka adalah empat keluarga yang tidak dibenarkan menerima sedekah selepas kewafatan baginda iaitu keluarga tiga beradik anak Abu Talib iaitu Ali, ‘Uqayl dan Ja’afar serta keluarga ‘Abbas.

Manakala jika kita merujuk keseluruhan ayat tersebut (ayat 28 – 34), konteksnya merujuk kepada para isteri baginda. Mudahnya, Ahli Bait baginda secara umumnya merujuk kepada keluarga baginda keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Baghawi, Tafsir al-Razi).

Tidak dinafikan ayat itu diturunkan bagi memuliakan keluarga Rasulullah SAW, namun kemuliaan utama mereka tetap berkait rapat dengan kualiti takwa dimiliki berkat asuhan baginda.

TAKWA TIDAK DIWARISI

Ringkasnya, darah keturunan boleh turun kepada generasi anak cucu tetapi takwa bukan begitu sifatnya. Ia wajib dicari dan diusahakan sedaya mampu. Takwa juga mampu dimiliki siapa sahaja tanpa mengira jenis darah yang dimiliki. Asal sahaja mereka mendaki puncak iman bagi mencari permata takwa.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sini Allah adalah orang yang paling bertakwa (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu),” (al-Hujurat [49:13]).
Kewajipan merebut “piala takwa” disebut oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda pada hari Tasyriq semasa baginda menunaikan haji. Sabda baginda:
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu satu, bapa kamu (Adam) juga satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab berbanding orang bukan Arab, tidak juga bagi orang bukan Arab terhadap orang Arab. Tiada juga kelebihan bagi orang berkulit merah berbanding si kulit hitam, tidak juga bagi si kulit hitam berbanding si kulit merah melainkan dengan (kualiti) takwa,” - Musnad Ahmad.
Bukti keadilan Allah merentas isu darah keturunan dan fizikal turut ditegaskan dalam ayat lain. Firman Allah:
“Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya,” (al-Mu’minun [23:101]).
Pernah sekali orang Quraysh cuba mempertahan pencuri wanita dari Bani Makhzum. Mereka meminta agar Usamah bin Zayd r.a. (yang dikenali sebagai buah hati Rasulullah SAW) memujuk baginda supaya melepaskan wanita tersebut.

Baginda lantas bangun berucap memberi amaran tegas, sabda baginda SAW:
“Sesungguhnya umat sebelum kamu musnah (kerana sikap pilih kasih). Apabila golongan bangsawan mencuri mereka dilepaskan, manakala apabila golongan bawahan mencuri barulah dilaksanakan hukuman. Demi Allah! Jika Fatimah anak perempuan Muhammad (sendiri yang) mencuri pasti aku akan (tetap) memotong tangannya (melaksanakan hukum Allah tanpa pilih kasih atau kasta),” - Sahih Bukhari.
Menutup bicara nota ini saya analogikan sebuah dialog:

Sayang sekali! Wajahnya cantik bak bidadari, tapi bau badannya mengalahkan si kambing jeruk!

Keturunan mulia terhormat seumpama wajah yang cantik, manakala akhlak dan budi seumpama bau badan. Nilai si cantik akan jatuh jika bau badannya menusuk hidung. 

Oleh itu, lengkapkan anugerah wajah yang cantik dengan wangian yang sepadan. Barulah datuk nenek pemilik genetik wajah yang cantik itu akan tersenyum bangga.

Sumber: Utusan