#BangsaJohor: Kenyataan Penuh MB Johor Terhadap Kenyataan Tun M


JOHOR BAHRU – Susulan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan perkataan Bangsa Johor, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak pandangan negarawan tersebut sebagai tidak berasas.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau sebaliknya menjelaskan penggunaan ungkapan tersebut bukan bermaksud mempromosikan gerakan pemisahan negeri itu daripada Persekutuan Malaysia sebagaimana disalah faham kebanyakan pihak.

Mohamed Khaled yang sependapat dengan pandangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang murka dengan kenyataan Mahathir itu malah menegaskan perkataan Bangsa Johor lebih menjurus kepada permuafakatan rakyat negeri itu yang majmuk.

Beliau seterusnya menerangkan, konsep Bangsa Johor sudah diperkenalkan seawal dekad 1920-an apabila Almarhum Sultan Sir Ibrahim menggunakan istilah tersebut sebagai bentuk nasionalisme unik negeri tersebut untuk menyatupadukan masyarakat tempatan.

Justeru, Mohamed Khaled mengingatkan Mahathir supaya tidak mengulas perkara setempat yang tidak diketahuinya sendiri dan menegaskan Bangsa Johor tidak kira latar belakang mereka tetap berbangga mempertahankan keunikan warisan negeri itu.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Menteri Besar Johor itu; - Kedahnews.com
Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor semalam.

Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut. Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.

Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.

Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.

Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’.

Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum.

Malah ia menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.

Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju, harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya menjadi lebih baik.

Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik. Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan, negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.

Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut.

Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal daripada kemerdekaan dan kewujudan Malaysia sendiri.

Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian daripada kepelbagaian dan kerencaman Malaysia yang mempunyai pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.

Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secara progresif dan sihat.

Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya. Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.

Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatakan segenap rakyat negeri ini.