"Banyak Sangat "Hot Seat" Dia", PAS Sindir PAN Kelantan

KOTA BHARU – Pas Kelantan mempersoalkan tindakan Parti Amanah Negara (PAN) yang membayangkan akan meletakkan calon di 30 kerusi pilihan mereka pada PRU14 nanti.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun tiada halangan untuk bertanding, namun Pas tetap memilih untuk tidak berunding mengenai agihan kerusi di sini.

“Kenapa perlu 30 kerusi? Kenapa tidak ambil 45 kerusi? Apa yang ada pada 30 kerusi tersebut? Kita tetap dengan pendirian tiada perundingan mengenai pengagihan kerusi ini,” katanya memetik Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi PAN Kelantan, Muhamad Hussin yang membayangkan Amanah akan meletak calon di 30 kerusi utama di negeri itu pada PRU 14 akan datang.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa PAN tidak perlu terikat dengan Pas walaupun Pas telah memberi amaran mengenai perkara tersebut.

Mohd Amar berkata, Pas menghormati amalan demokrasi dan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan untuk memberi peluang kepada mana-mana parti bertanding pada PRU14 nanti.

“Cuma kita mahu tahu, kenapa 30 kerusi? Banyak sangat ‘hot seat’ (kerusi panas) dia.

"Kita hormat undang-undang, apa yang pastinya, tiada perundingan antara Pas dan mereka,” katanya. - Kedahnews.com