Benarkah Petanda Datang 40 Hari Sebelum Ajal?

“MASUK sahaja waktu asar, pusat saya berdenyut-denyut. Bukan setakat itu, semua tanda lain turut ada pada tubuh.

Saya amat kaget kerana semua itu adalah tanda 40 hari sebelum mati sebagaimana yang dibaca dalam sebuah buku. Saya tak tunggu lagi ustaz! Saya bertaubat nasuha atas segala kesilapan dan alhamdulillah saya dah berubah sekarang. Kerisauan itu mendorong saya untuk berubah. Semua tanda 40 hari sebelum mati itu benarkan ustaz?”

Soalan jiran saya ini saya jawab dengan soalan lain: “Tapi sampai sekarang awak belum mati lagikan? Saya kira dari tempoh awak mengesan tanda mati itu, jaraknya sudah lebih dari 40 hari?”

Tazkirah pelik tentang tanda-tanda tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati biasa tersebar sejak dahulu lagi. Sebaran perkara ini menjadi semakin laju dengan perkembangan media sosial. Soalannya, adakah perkara ini benar?

Bagaimana pendakwa yang galak menulis buku itu tahu dengan terperinci segala tanda berkenaan sebelum mati? Adakah pernah ada orang mati yang hidup semula lalu memberitahu segala tanda yang pernah dialaminya sebelum mati? Usahkan kita, Rasulullah SAW yang saban hari berdamping dengan malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahui perihal ghaib tanpa izin Allah. Firman Allah:
“Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman,” (al-A’raf [7:188]).
HAK EKSKLUSIF ALLAH

Ajal maut adalah rahsia eksklusif Allah yang mustahil diketahui oleh makhluk. Perkara ini ditegaskan secara tuntas oleh Allah:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya,” (Luqman [31:34]).
Mati juga sudah siap tarikhnya pada pengetahuan Allah. Yang tahu adalah Allah, bukan kita, bukan Rasulullah SAW, bukan tok nujum dan sebagainya:
“Dan (setiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah),” (Ali ‘Imran[3:145]).
Tak cukup dengan itu, mufti wanita dalam kalangan sahabat Rasulullah iaitu isteri baginda, Aishah r.a. turut menegaskan perkara sama:
“Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu ayat daripada Kitab Allah (tidak disampaikannya). Maka orang itu sesungguhnya telah berbuat kebohongan besar terhadap Allah kerana Allah telah berfirman:
“Wahai, Rasul! Sampaikanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu! Apabila itu tidak engkau lakukan, bererti engkau tidak menyampaikan risalah-Nya (tidak menjalankan tugas daripada-Nya”),” (al-Maidah[5:67]),
“Dan orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tahu apa yang akan terjadi esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah.
“Firman Allah: “Katakan: Tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi melainkan Allah,” (Naml[27:65]) - Sahih Muslim.
Mungkin ada yang akan berkata:

“Apa salahnya, benda baik. Sekurang-kurangnya tanda itu boleh menjinakkan jiwa manusia yang buas buat seketika. Tambahan pula ia adalah hasil kajian yang arif perihal jasad manusia.”

Mudah sahaja jawapannya:

“Agama ini milik mutlak Allah terutama sekali apabila menyentuh yang ghaib (al-Naml [27:65]). Ia perlu difahami dan dijiwai dalam kehendak Allah. Agama Allah bukan sejenis masakan yang boleh direncahkan “secukup rasa” oleh sesiapa pun walaupun jubahnya meleret menyapu bumi, janggutnya mencecah lutut atau serbannya sebesar bakul. 

Dakwaan “tahu tanda mati dalam lingkungan tepat” tujuh, 40 atau 100 hari adalah cubaan meneka rahsia mutlak milik Allah. Ia adalah satu kebiadaban pada hak Allah!”

Usah tunggu tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati untuk menjadi hamba Allah, sebaliknya jadilah hamba Allah sepanjang hidup. Usah takut mati, sebaliknya takutlah jika tidak bersedia untuk bertemu Allah. Mati bukanlah penutup bagi orang beriman tetapi menjadi suatu permulaan untuk hidup akhirat yang kekal abadi.

Daripada kita sibuk “menujumkan” tanda mati lebih baik kita semua bersiap sedia menemui mati yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.

Mengingati mati sepanjang masa tanpa menunggu tanda tujuh, 40 atau 100 hari adalah ubat terbaik untuk jiwa manusia sebagaimana sabda Junjungan SAW:
“Perbanyak mengingati pemutus kelazatan (dunia) iaitu kematian,” - Sunan al-Tirmidhi, al-Nasa’i & Ibn Majah).

Sumber: Utusan