Berdiam Diri Reaksi Terbaik Berdepan "Haters" Di Media Sosial

“IMAM Shafie pernah menyatakan bahawa menjadi sesuatu yang tidak bersesuaian untuk seekor singa menjawab salakan si anjing. Tindakan saya berdiam diri terhadap kumpulan yang bodoh merupakan jawapan tepat,”.

Ungkapan tersebut merupakan pembuka kata kepada video berdurasi empat minit 24 saat yang dimuat naik oleh Kamal Saleh Muhammad, seorang pendakwah bebas yang menyampaikan usaha dakwah menerusi seni suara dan menjadikan saluran multimedia sebagai platform mendidik manusia.

Menetap di Sydney, Australia, anak muda yang mampu menutur kata dengan laju dan hebat itu tidak mudah melatah apabila dirinya dikritik oleh pembenci (haters) di laman media sosial.

“Saya memperoleh banyak pesanan ringkas daripada kamu di luar sana. Tolong memberi reaksi kepada individu ini dan beri reaksi kepada individu ini pula. Banyak melibatkan reaksi daripada mereka yang membenci Islam dan Muslim.

“Secara jujur, mereka tiada di sini (dalam video ini) untuk melakukan perbincangan. Mereka berada di luar sana untuk menjadi terkenal dan memperoleh populariti atau sekadar mencari keseronokan dalam sebuah kehidupan mereka yang membosankan atau tertekan. Oleh itu, tidak menjadi satu tindakan yang bermanfaat untuk kita (orang Islam yang beriman) memberi reaksi kepada kumpulan manusia seperti itu,” katanya penuh jujur.

Menjadikan kisah Nabi Muhammad SAW dengan seorang wanita yang membuat puisi cacian tentang baginda sebagai panduan, Kamal ternyata tenang menghadapi ujian yang dilemparkan kepadanya.

Puisi tersebut bukan sekadar menghina dan menyakitkan hati, malah menggelar Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai nama yang tidak baik serta menjadikan baginda sebagai subjek utama dalam penghasilan puisi tersebut.

Wanita tersebut menggelar Muhammad sebagai Muzammam (seorang yang diejek) iaitu secara umumnya sangat bertentangan dengan keperibadian baginda.

Ekoran perbuatan wanita itu, para sahabat datang kepada Rasullullah dengan berkata: “Wahai Rasullullah, kamu perlu memberi reaksi dan tindak balas.”

Namun baginda melihat para sahabat dan berkata, “Dia (wanita itu) bercakap berhubung seorang lelaki yang dipanggilnya sebagai Muzammam, tetapi nama aku ialah Muhammad. Dia tidak melakukan apa-apa. Oleh itu, kenapa perlu aku memberi tindak balas?”.

“Begitu juga yang terjadi kepada diri saya. Haters tidak mengatakan tentang kita atau melibatkan diri kita kerana mereka tidak menyebut tentang diri saya. Apa yang penting, kita perlu terus menjadi umat Islam sejati. Kita teruskan usaha dakwah dan perkara tentang keamanan kepada orang ramai. Jangan ambil kira tentang orang seperti itu,” katanya.

Kamal juga menjadikan kisah nabi yang sangat masyhur iaitu ketika Rasullullah SAW sedang berehat bersama isteri baginda, Aisyah a.s. dan sekumpulan individu melintas hadapan baginda dan Aisyah dengan berkata Sam Alaikum (celaka buat kamu).

Namun Nabi hanya memandang kumpulan tersebut dan menjawab Wa alaikum (dan kepada mu juga).

Aisyah yang melihat kejadian itu marah dengan insiden tersebut, lantas bangun sambil mengucapkan ‘celaka buat kamu’ dan ‘semoga Allah mencela ke atas kamu’. Namun Rasullullah melihat Aisyah dan memberi isyarat kepadanya untuk kembali tenang. Menurut Sahih Bukhari, baginda Rasullulah menyatakan bahawa Allah menyukai kelembutan dalam segala urusan.

Aisyah bagaimanapun menyatakan bahawa : “Adakah kamu tidak mendengar apa yang mereka katakan? Baginda menjawab, ‘Ya. Adakah kamu tidak mendengar apa yang telah aku katakan kepada mereka juga?’.

Maka cara seperti ini jugalah kita sebagai umat Islam perlu memberi reaksi kepada mereka yang membenci diri kita.

Jangan biarkan perkara seumpama itu memberi kesan kepada kamu. Jangan membenarkan perkara seumpama itu membuatkan kamu menjadi lemah, malah membuatkan kamu tidak mempunyai apa-apa faedah.

“Biarkan sahaja haters membenci kamu, namun kamu perlu tetap meneruskan perjalanan hidup. Terus menjadi insan yang boleh memberi contoh terbaik dengan apa yang dimaksudkan sebagai seorang Muslim. Kita hanya berdoa kebaikan buat mereka kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya.

Sumber: Utusan