Bersekongkol Dengan Anasir Luar Umpama Raja Mendeliar - MB Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang perlu dipertahankan dari campur tangan asing dan mengamalkan amalan demokrasi yang tersendiri.

Namun begitu katanya, tindakan segelintir pihak yang cuba bersekongkol dengan kuasa asing untuk campur tangan mengenai hal ehwal dalam negara adalah seumpama Raja Mendeliar yang mengkhianati Kesultanan Melayu Melaka dulu.

"Apabila diimbas kembali, sepanjang 59 tahun Negara Merdeka, sudah banyak kejayaan dikecapi. Dengan gabungan muafakat 3 kaum utama, Melayu, India dan Cina didokong oleh Bumiputera Sabah dan Sarawak, kejayaan demi kejayaan kita bina dengan acuan kita sendiri.

"Dinamiknya pentadbiran dan kerajaan Barisan Nasional semenjak 1957 sehingga kini ialah keupayaan memelihar serta memastikan Kedaulatan, keunggulan dan hak negara berdaulat dipertahankan.

"Sebab itu apabila kebelakangan ini, ada suara sumbang, dan usaha pihak tertentu termasuk usaha menggunakan saluran undang-undang mengkiut versi mereka selain cubaan bersekongkol dengan anasir dalam negara bertujuan untuk mencampuri urusan dalam negara, maka tindakan ini saya ibaratkan serupa sepertimana tindak tanduk Raja Mendeliar yang membuka pintu Kota Melaka kepada Portugis bagi menakluk Melaka pada tahun 1511.

"Cukuplah, bahana 446 tahun dijajah jangan diulang kembali. Kesan dan impak buruk sehingga bangsa dan negara ini merempat dibuminya sendiri wajar dielakkan," tegas beliau ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Kedah, di sini, petang tadi.


Justeru itu katanya, sebagai rakyat Malaysia yang memiliki jiwa nasionalisma yang tinggi, sewajarnya semangat kemerdekaan yang disambut setiap tahun bukan hanya disambut dengan bendera di kenderaan sahaja, malah perlu dihayati di jiwa masing-masing dengan jiwa patriotisma yang lebih bermakna.

"Kejayaan demi kejayaan yang negara kecapi wajar dijulang. Maka, kempen kibar jalur gemilang yang kita adakan pada setiap kali sambutan bulan kemerdekaan kebangsaan, bukan sekadar mahu meraikan sambutan merdeka semata-mata.

"Serta tidak pula hanya menjadi rutin melekat bendera di kereta, atau menaikkan bendera di premis niaga kita dan pejabat kerajaan mahupun swasta.

"Namun, yang lebih penting erti dan simbolik bendera JALUR GEMILANG dalam kehidupan kita harus dihayati. Tanpa negara dimanakah tempat untuk kita berlindung?," tegasnya lagi. 


Ahmad Bashah hari ini hadir merasmikan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Kedah di ruang legar utama pusat membeli-belah ikonik, Aman Central di sini petang tadi.

Hadir sama mengiringi beliau adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Bakar Din, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Tajul Urus Md Zain dan Datuk Suraya Yaakob.

Selain itu, Pegawai-Pegawai Daerah, ketua-ketua agensi kerajaan dan wakil-wakil jabatan utama turut hadir dan menerima penyerahan jalur gemilang untuk dipasang di premis masing-masing sepanjang bulan kemerdekaan ini. -Kedahnews.com