SINGAPURA – Nampaknya, rakyat Singapura dan warga jirannya dari Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk mencuba permainan yang menjadi kegilaan ramai, iaitu Pokemon Go.
Agensi berita tempatan MediaCorp melaporkan, Pokemon Go kini sudah dilancarkan di Singapura awal 6 Ogos. Mulai pagi ini, aplikasi mudah alih itu sudah boleh dimuat turun dari Apple Store dan Google Play Store.
Perkara tersebut turut disahkan menerusi pengumuman yang dibuat melalui laman Facebook rasmi permainan peranti pintar tersebut iaitu lebih seminggu setelah Pokemon Go berada di negara tetangganya, Indonesia.
Permainan berkenaan pertama kali mula dilancarkan di New Zealand dan Australia ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 6 Julai lalu, sebelum disediakan pula di Amerika Syarikat (AS) beberapa jam kemudian.
Di Asia pula, Pokemon Go dilancarkan terlebih dahulu di Jepun – tempat di mana kartun Pokemon dilahirkan – pada 22 Julai. Ini disusuli oleh Hong Kong, yang boleh memuat turun aplikasi tersebut pada 25 Julai.
Permainan itu, yang menghidupkan watak-watak dalam kartun sensasi Pokemon berusia 20 tahun ke alam nyata, membolehkan para pemain berada di jalan-jalan raya sambil mencuba untuk menangkap Pokemon maya.
Raksasa itu dapat dilihat pada skrin telefon bijak mereka dan pemain perlu ‘memburu’ untuk mendapatkan markah sehingga menjadi kegilaan ramai dan mencetuskan kontroversi apabila pemain menceroboh kawasan larangan.
Selain Singapura, pengendali permainan menjangkakan Pokemon Go dapat dilancarkan sepanjang Ogos ini di seluruh India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, China, Korea Selatan, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina.
Meskipun Pokemon pertama kali muncul di jalan-jalan raya di Singapura pada 6 Julai, namun aksesnya kemudian dihadkan hanya untuk para pemain yang berasal dari New Zealand dan Australia beberapa jam kemudian.
Ini mengakibatkan ramai yang ghairah menantikan permainan itu kecewa apabila sistem ‘server’ atau pelayannya gagal menampung jumlah pemain yang terlalu ramai memuat turun aplikasi berkenaan secara serentak semalam.
Permainan realiti tersebut juga mencetuskan kebimbangan dari sudut privasi setelah versi awalnya memerlukan pemain perlu menyerahkan sepenuhnya akaun peribadi Google mereka kepada pihak Pokemon Go.
Ramai netizen tempatan juga berharap agar Pokemon Go dapat berada di republik pulau kecil tersebut menjelang sambutan perayaan Hari Kebangsaan Singapura ke-51 pada 9 Ogos depan. – Agensi