Budak 10 Tahun Ketagih Minum Susu Anjing


KEBANYAKAN orang akan memilih susu lembu atau kambing sebagai minuman harian, namun bagi seorang kanak-kanak dari India, susu kambing dan lembu terlalu ‘mainstream’ baginya.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Mohit Kumar, 10, berasal dari Manaitand, Jharkand itu mempunyai susu kegemarannya yang tersendiri berbeza dari kanak-kanak lain.

Kedua-dua ibu bapanya sudah mencuba pelbagai cara untuk menghentikan hobi pelik Mohit itu, namun dia tetap sukakan susu anjing berbanding haiwan lain.

Tabiat pelik meminum susu anjing itu bermula sejak Mohit berusia empat tahun lagi.

“Satu hari Mohit sedang bermain dengan beberapa anjing liar di luar rumah sebelum saya dapati dia telah menghisap puting susu salah seekor anjing betina,” kata Pinky, ibu kandung Mohit.

Semenjak hari itulah Mohit dikatakan ketagih susu anjing dan sering melakukan aktiviti anehnya itu apabila berkesempatan. Tambahnya, anjing-anjing betina itu juga seolah-olah tidak kisah dengan apa dilakukan Mohit.


Bagaimanapun, hobi aneh Mohit itu membuatkan kedua ibu bapanya runsing dan dia tidak dibenarkan keluar rumah tanpa pengawasan.

“Kami tidak membiarkan dia pergi ke sekolah kerana bimbang ketagihannya itu semakin menjadi-jadi,” jelas Pinky.

Walaupun anjing-anjing di kejiranan itu sudah terbiasa dengan Mohit, namun dia pernah digigit ketika cuba menghisap puting seekor anjing betina yang datang dari luar kawasan.

Meskipun begitu, insiden itu tidak membuatkan Mohit berhenti dari meneruskan tabiatnya.

Hingga kini kedua-dua ibu bapa Mohit tidak mengerti mengapa anak mereka yang juga seorang kanak-kanak cacat pendengaran boleh menjadi ketagih pada susu anjing. –Kedahnews.com