Bukan Saja Hina Mufti Perak, Malah Turut Hina Hukum Allah!


Difahamkan semalam berlangsung sebuah majlis anugerah di Petaling Jaya anjuran NGO, Joint Action Group on Gender Equality (JAG) dengan kerjasama sebuah kumpulan mahasiswa dari universiti swasta, Gender Equality Initiative (GEI).

Menurut laporan media, majlis anugerah itu telah menobatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sebagai pemenang bagi ‘Anugerah Aiyoh Wat Lah!’, sebuah anugerah yang melambangkan pemenangnya sebagai ‘menghina intelektual’.

Turut difahamkan juga bahawa kategori ‘menghina intelektual’ itu dianugerahkan kepada pihak yang membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali. Maksudnya, penganjur majlis itu menyifatkan Mufti Perak sebagai ‘membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali’.

Kenyataan Tan Sri Harussani yang dikaitkan sebagai penyebab beliau dianugerahkan anugerah itu adalah berhubung konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak, dengan mengambil istinbat hukum hadis Rasullah SAW yang mewajibkan para isteri untuk patuh pada hajat suami walaupun di atas belakang unta.

Sebenarnya, penulis amat memandang serius dengan penghinaan yang dilemparkan oleh penganjur majlis berkenaan yang bukan saja terhadap Mufti Perak, malah kepada hukum-hakam Islam, termasuk perintah Allah SWT yang disampaikan Rasulullah SAW.

Penulis faham NGO itu memperjuangkan hak-hak wanita yang merangkumi wanita bukan Islam. Namun mereka perlu faham bahawa kini mereka berada di bumi Malaysia, sebuah negara Islam yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan amat sensitif berhubung isu keagamaan.

Fahamkah mereka bahawa apa yang ditegaskan Tan Sri Harussani itu adalah merujuk kepada hukum-hakam Islam yang wajib dipatuhi bagi wanita yang berstatus muslimah? Sensitifkah NGO itu pada sensitivi umat Islam di negara ini apabila mempertikai dan menghina hukum Islam sebegitu rupa?

Ilmu dan kefahaman Tan Sri Harussani tentang Islam tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah penulis yakin bahawa hujah dan pandangan beliau mengenai konsep rogol yang tidak relevan bagi umat Islam itu lahir dari sumber-sumber perundangan Islam, Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang sahih dan kukuh.

NGO itu perlu tahu bahawa hukum dan iman dalam Islam tidak hanya bersandarkan kepada hukum logik akal manusia atau rasional manusia. Iman dan kepercayaan dalam agama Islam bersandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah, bukan otak makhluk ciptaanNya.

Penulis yakin bahawa maksud tiada konsep rogol dalam Islam itu adalah merujuk kepada hukum Islam yang mewajibkan wanita Islam untuk patuh melayan kehendak seks suami walaupun dalam kepayahan atau kekangan emosi mahupun fizikal.

Dalam Islam yang menjadi kepercayaan kami, Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 223, yang mafhumnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.”

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (Riwayat At-Thabrani)

Malah sabda baginda SAW lagi: “Demi jiwaku yang ditanganNya, tiada seorang lelaki yang memanggil isterinya untuk bersama, lalu dia menolak, dan suami tidur dalam keadaan marah (tidak redha) maka malaikat akan melaknatnya hingga ke subuh.”

Terdapat banyak lagi firman-firman Allah SWT dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjadi sumber hukum Islam yang mewajibkan para muslimah untuk menunaikan hajat suami. Rela atau tidak, ia merupakan satu perkara wajib di mana ia perlu dilaksana dan berdosa jika diingkari.

Sabda Rasullah SAW dalam hadis baginda yang mafhumnya: “Demi jiwaku yang ditanganNya, tiada seorang lelaki yang memanggil isterinya untuk bersama, lalu dia menolak, dan suami tidur dalam keadaan marah (tidak redha) maka malaikat akan melaknatnya hingga ke subuh.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Menurut para ulama muktabar, antara hikmah seorang isteri itu perlu melayan hajat suaminya adalah disebabkan bagi mengelak si suami itu melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa yang diharamkan oleh agama Islam.


Justeru itu, penulis mendesak supaya NGO dan penganjur majlis anugerah itu memohon maaf secara terbuka bukan saja kepada Tan Sri Harussani, malah kepada semua Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Tertinggi Agama Islam di semua negeri dan seluruh umat Islam di negara ini.

Penulis bimbang sekiranya perkara seperti ini dibiarkan maka ia bakal mencetus kemarahan umat Islam terhadap NGO tersebut dan mereka-mereka yang sealiran dengan penganjur majlis itu. Sila mohon maaf segera atau berkemungkinan akan ada yang membuat laporan polis.

Sumber: mykmu.net