"Bukan Senang Nak Bersihkan "Taik"..!" - NUJ Utusan Melayu


KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu berdiri teguh di belakang kepimpinan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas menerajui syarikat itu.

NUJ Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu dalam satu kenyataan berkata, kesatuan itu meletakkan kepercayaan penuh kepada Noordin dalam usahanya menyelamatkan syarikat itu.

“Noordin bersungguh-sungguh berusaha meningatkan pendapatan dan keuntungan syarikat dengan mencari sumber pendapatan lain. Tidak bergantung kepada penjualan akhbar, majalah dan iklan.

“Bukan senang nak bersihkan `taik’ yang dilakukan kepimpinan tertinggi syarikat sebelum ini. Segala kepincangan tersebut tidak perlu diulas panjang lebar. Segala masalah yang dihadapi biar kami tangani dengan cara kami,” tegas kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan negatif media propembangkang syarikat ke atas akhbar berbahasa Melayu itu yang didakwa sedang `sakit’ kerana mengalami masalah kewangan.

NUJ Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Malaysia mengakui Utusan Melayu pada 21 Julai lalu mengeluarkan surat pekeliling mengenai kelewatan pembayaran gaji bukan eksekutif dan ia menjadi viral di internet.

Jelas kenyataan itu, kelewatan pembayaran gaji itu turut membabitkan kakitangan eksekutif yang dijadualkan gaji pada 24 Julai (setiap bulan tarikh sama) dibayar lewat pada 29 Julai.

“Manakala kakitangan bukan eksekutif yang dijadualkan gaji 30 Julai (setiap bulan) dibayar lewat pada 5 Ogos,” kata NUJ Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu yang mewakili petugas bukan eksekutif akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

Bagaimanapun, kata NUJ Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu, masyarakat umum sedia maklum dalam keadaan ekonomi sekarang kebanyakan syarikat mengalami kerugian dan berpotensi menutup operasi.

Namun, kata kenyataan itu, syarikat Utusan Melayu masih bertahan dalam cuba mengambil langkah terbaik dalam mengurangkan kos operasi dan mencari peluang perniagaan baru malah tanpa membuang pekerja.

Justeru, NUJ Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu berharap masyarakat tidak bersangka buruk dan mempercayai dakyah pembangkang yang memburukkan syarikat Utusan Melayu dan UMNO membabitkan keadaan yang berlaku.

“Kesatuan menyokong seruan Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM), Dato Raja Ahmad Niza melalui laman blog zamkata.blogspot.my yang menyeru supaya langkah segera diambil bagi menyelamatkan Utusan Melayu yang sedang berada dalam keadaan “sakit”,” kata kenyataan itu. – Kedahnews.com