Bunuh Warga Emas, 5 Individu Berdepan Hukuman Mati


KLUANG – Tiga lelaki dan dua wanita rakyat tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga emas, akhir bulan lepas.

Tiga lelaki itu, Wong Zu Yao, 21, Ong Chia Wen, 30, dan Ong Chia Wei, 25, manakala dua wanita, Tan Kim Hong, 51, dan Chai Yen Hiong, 20, mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abddulah.

Kelima-lima mereka bersama-sama tiga lagi yang masih bebas didakwa membunuh Koh Peng Huat, 65, di dalam kebun kelapa sawit, Jalan Kahang Timur, Kampung Gajah, di sini, antara 5.30 petang dan 7 malam, 31 Julai lepas.

Kesemua mereka yang berpakaian lokap polis, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A.Shaarmini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Abraham Mathew.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula di Mahkamah Majistret, di sini, sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat. – BERNAMA