Tindakan segelintir umat Islam mempamerkan Islam dalam bentuk radikal dan tidak berperikemanusiaan menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan agama Islam. Sikap dan tindakan yang keras dan kejam bukan ajaran agama Islam.
Islam dikenali sebagai agama rahmatul ‘alamin iaitu agama yang menyebarkan rahmat dan kesejahteraan seluruh alam semesta termasuk manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah 21 (al-Anbiya’): 107 yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.
Mengikut Ibnu Abbas, ayat di atas ertinya Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam. Rahmat bagi orang Islam ialah mereka mendapat petunjuk dengan perutusan Nabi Muhammad SAW mengenai kehidupan di dunia dan di akhirat.
Orang Islam yang mematuhi ajaran baginda akan mendapat ganjaran syurga yang penuh dengan kenikmatan. Sedangkan rahmat bagi orang bukan Islam, mereka tidak ditimpa bala secara segera sepertimana berlaku kepada umat sebelumnya yang mengingkari ajaran Allah.
Perutusan Nabi Muhammad adalah dalam bentuk kasih sayang kepada seluruh manusia. Hukum syariah dan undang-undang Islam adalah dalam bentuk kasih sayang Allah kepada seluruh manusia. Orang bukan Islam terjamin nyawa dan harta mereka dalam negara Islam.
Apabila Islam diistilahkan sebagai rahmatul ‘alamin maka setiap ajaran dan pendidikan yang berbentuk kekerasan dan tidak berperikemanusiaan sepatutnya ditentang oleh umat Islam.
Individu-individu yang menggemburkan jiwa bengis, keras dan kejam perlu ditentang oleh umat Islam kerana ajaran demikian bukan sahaja boleh mencemar kewibawaan agama Islam malah boleh menyebabkan umat Islam bermusuhan sesama sendiri.
Islam mendidik umat Islam berjiwa lembut, halus dan kasih sayang terhadap manusia dan makhluk lain sepertimana sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang dengan sewenang-wenang membunuh burung atau haiwan lain yang lebih kecil darinya, maka Allah akan memintanya bertanggungjawab kepadanya”.
Burung hanya dibunuh untuk dimakan, bukan untuk diseksa dan dipersendakan. Jika burung dan binatang kecil perlu dicegah daripada dibunuh maka membunuh manusia tanpa sebarang sebab adalah diharamkan sama sekali oleh Islam.
Pembunuhan hanya dibenarkan di medan peperangan demi menegak keadilan dan menghapuskan kekejaman. Dalam peperangan umat Islam masih lagi terikat dengan undang-undang berkaitan dengan kemanusiaan di mana diharamkan sama sekali membunuh orang awam, kanak-kanak dan wanita serta memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan binatang ternakan. Umat Islam tidak dibenarkan membunuh musuh yang menyerah diri dan meminta perlindungan nyawa.
Umat Islam yang menyertai peperangan wajib mematuhi undang-undang yang digariskan oleh Islam berkaitan peperangan jika mereka berjuang untuk mendapat keredaan dan ganjaran dari Allah sebagai pejuang Islam yang syahid. Jika mereka bertingkah laku seperti orang kehilangan akal dan kejam terhadap orang yang ditawan maka jihad yang dilaungkan itu bertentangan dengan konteks ajaran Islam.
Slogan jihad yang dilaungkan oleh individu-individu begini tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Kematian dan pengorbanan yang dianggap sebagai jihad untuk menubuhkan negara Islam sepertimana dilaungkan oleh mereka adalah tidak bertepatan dengan konteks jihad dalam ajaran Islam kerana tingkah laku yang dipertontonkan oleh mereka kepada dunia tidak mencerminkan keindahan negara Islam malah ia mencemarkan kewibawaan dan kehebatan ajaran Islam yang berbentuk rahmatul ‘alamin.
Umat Islam yang berjiwa Islam tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan konsep kemanusiaan dan kesejahteraan walaupun berada dalam keadaan genting dalam peperangan kerana peperangan yang diperjuangkan itu adalah untuk menegakkan keadilan dan keamanan.
Jika pembunuhan yang dilakukan itu semata-mata untuk mendapat kuasa dan kekayaan maka tindakan demikian lebih menjurus kepada jenayah pembunuhan bukan jihad. Islam amat prihatin terhadap jiwa manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
“Pertama yang diadili antara manusia ialah tentang pembunuhan nyawa”.
Rahmatul ‘alamin mempunyai batasan tertentu di mana umat Islam perlu mengimbangi sesuatu secara rasional berkaitan individu dan situasi. Jika kegiatan seseorang individu boleh merosakkan Islam dan masyarakat maka ketika ini tindakan tegas perlu dilakukan demi kebaikan agama dan masyarakat. Umat Islam sepatutnya mencontohi personaliti Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian mereka.
Sikap keras dan bengis bukan personaliti Rasulullah SAW dan umat Islam yang beriman. Terdapat perkara yang dilakukan oleh baginda secara keras terutama berkaitan kesejahteraan masyarakat dan negara sepertimana baginda memerangi Bani Quraizah kerana pengkhianatannya terhadap umat Islam dan masyarakat.
Baginda juga bersikap lembut terhadap seorang musuh yang bernama Suraqah yang hendak membunuhnya tetapi Allah menggagalkan usahanya untuk membunuh baginda. Baginda tidak membunuh Suraqah dan membebaskannya.
Umat Islam digalakkan bergaul dengan masyarakat bukan Islam tanpa mengorbankan prinsip dan akidah Islam. Masyarakat bukan Islam bebas bergerak dan menikmati kekayaan seiringan dengan umat Islam selama mana mereka mematuhi perundangan dan perlembagaan negara Islam.
Mereka bebas melaksanakan ajaran agama dan adat istiadat mereka. Umat Islam diharamkan mencerobohi rumah ibadah masyarakat bukan Islam kerana perbuatan demikian mengguris hati dan membangkitkan kemarahan terhadap umat Islam. Islam mengamalkan konsep kebebasan beragama dan umat Islam diharamkan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.
Islam adalah agama yang menyebar rahmatul ‘alamin kepada dunia maka setiap aspek berkaitan radikal dan kekejaman adalah diharamkan sama sekali. Oleh itu, setiap perjuangan berunsur kekejaman dan tidak berperikemanusiaan adalah terkeluar dari agama Islam.
Perjuangan dalam bentuk sedemikian bukan sahaja menimbulkan rasa kebencian masyarakat bukan Islam kepada umat Islam malah boleh merosakkan akidah dan sistem perundangan Islam yang berbentuk universal, komprehensif dan moderate. Justeru umat Islam perlu awasi terhadap pergerakan radikal yang menular dalam dunia Islam masa kini.
*PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)/Utusan