Daftar Masuk, Cetak Tag Bagasi Sendiri - Malaysia Airlines


KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) menguatkuasakan pelaksanaan sistem daftar masuk dan cetak sendiri tag bagasi bagi penumpang kelas ekonomi untuk penerbangan domestik serta antarabangsa bermula esok.

Menurut syarikat penerbangan nasional itu, penumpang perlu mencetak sendiri tag bagasi di 50 kiosk daftar masuk aras berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dilekatkan pada bagasi masing-masing sebelum ke kaunter bagasi.

Katanya, langkah itu bertujuan memudah dan meningkatkan kecekapan pengurusan pelanggan sejajar strategi untuk memanfaatkan teknologi bagi mengurangkan tempoh serta proses daftar masuk.

“Ini adalah fasa pertama sebelum syarikat memperkenalkan sistem letak bagasi sendiri secara sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.

“Sistem ini sudah dilaksanakan banyak syarikat penerbangan global, justeru dengan kerjasama AeroDarat Sdn. Bhd., MAB akan terus memperkenalkan sistem baharu bagi memodenkan urusan perjalanan penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi sistem baharu itu, tempoh proses daftar masuk penumpang hingga ke letak bagasi di kaunter dapat dikurangkan dengan ketara, khususnya bagi penumpang yang mendaftar masuk menerusi laman web serta sistem mudah alih.

Sebanyak 50 kiosk disediakan yang mana arahan untuk mencetak sendiri tag bagasi akan dipaparkan peringkat demi peringkat, selain kehadiran pegawai MAB di kiosk bagi membimbing penumpang.

Penumpang dibenarkan mencetak maksimum dua tag bagasi dengan berat keseluruhan bagasi 30 kilogram, selain memastikan mereka tidak membawa bahan terlarang dalam bagasi seperti bateri litium, e-rokok dan power bank. – Kedahnews.com