DAP Gesa Pakatan Harapan Jangan Lagi Berunding Dengan PAS


KUALA LUMPUR – Pemuda DAP menyelar PAS kerana mengambil pendirian berkecuali dalam pemilihan Tuan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak yang menyaksikan Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangeswary dipilih memegang jawatan itu.

Sehubungan itu, Ketuanya, Wong Kah Woh menyarankan supaya Pakatan Harapan tidak lagi mengadakan sebarang perbincangan dengan PAS selepas ini selepas calon Pakatan Harapan, V. Sivakumar tidak terpilih.

“Saya mencadangkan Pakatan Harapan atau mana-mana komponen parti daripada mana-mana peringkat tidak perlu lagi mengadakan apa-apa perbincangan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sekiranya ada pada masa hadapan dengan PAS untuk mana-mana isu,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Kah Woh memperkuatkan hujah Pakatan Harapan tidak lagi perlu mengadakan sebarang perbincangan dengan PAS dengan membangkitkan tindakan PAS menyebabkan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil baru-baru ini.

Malah, beliau menyelar PAS kerana memberi peringatan kepada rakyat Malaysia supaya tidak memberi ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan negara dalam isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“PAS pada hari ini jelas lebih cenderung dan berhasrat untuk menerima batang pendamaian yang dihulurkan oleh UMNO,” katanya. –Kedahnews.com