SIK - Seorang lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diterima masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun dia tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran kemasukannya pada 28 Ogos ini.
Nor Azila Osman, 20, bekerja sementara sebagai operator kilang sementara menunggu keputusan STPM, namun pendapatan yang dikumpul daripada pekerjaannya itu tidak mampu menampung perbelanjaannya.
"Saya menerima surat tawaran pada 8 Ogos lalu untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pendidikan di UPSI. Namun saya hadapi dilema apabila wang yang saya kumpul selama ini belum mencukupi untuk saya membayar yuran pendaftarannya," kata anak yatim piatu ini yang dijaga abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik ini yang mendapat keputusan 3.42 berkata yuran pendaftaran serta yuran kolej untuk satu semester di UPSI ialah sebanyak RM2,182.35.
"Saya terfikir tidak mahu lagi menyambung pelajaran, tapi sampai bila saya akan berbuat demikian," katanya. - Bernama